ST. PETERSBURG, 21 Jun (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Keputusan kumpulan pengeksport minyak utama OPEC+ untuk meningkatkan pengeluaran disifatkan sebagai langkah berwawasan dan wajar memandangkan konflik berterusan antara Iran dan Israel, kata Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) syarikat minyak gergasi Rusia Rosneft, Igor Sechin pada Sabtu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Keputusan yang dibuat oleh pemimpin OPEC+ untuk meningkatkan pengeluaran ketika ini ternyata sangat berwawasan, dan dari sudut pasaran, ia juga wajar, mengambil kira kepentingan pengguna serta ketidaktentuan skala konflik Iran-Israel,” katanya dalam ucapan khas di Panel Tenaga Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF) 2025.
Menurut Sechin, meskipun OPEC+ meningkatkan pengeluaran, lebihan bekalan minyak tidak dijangka berlaku dalam jangka panjang kerana simpanan minyak dunia kini berada pada paras paling rendah dalam tempoh lima tahun.
“Walaupun peningkatan pengeluaran telah diumumkan, tiada tanda-tanda lebihan bekalan akan membanjiri pasaran dalam jangka panjang. Simpanan minyak global kini berada pada paras terendah dalam lima tahun,” katanya lagi.
Lapan negara OPEC+ - Rusia, Arab Saudi, Iraq, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman - mempunyai komitmen sukarela tambahan selain kuota yang ditetapkan. Had pengeluaran sebanyak 1.65 juta tong sehari akan kekal berkuat kuasa sehingga akhir 2026.
Pemotongan tambahan sebanyak 2.2 juta tong sehari telah mula ditarik balik secara berperingkat sejak April. Mulai Mei, OPEC+ bersetuju mempercepat proses penarikan balik itu: pengeluaran meningkat sebanyak 411,000 tong sehari berbanding April, dan pengeluaran juga akan meningkat sebanyak 411,000 bpd pada Jun dan Julai.
Bandar raya St. Petersburg menjadi tuan rumah edisi ke-28 SPIEF dari 18 hingga 21 Jun dengan tema “Nilai Bersama: Asas Pertumbuhan dalam Dunia Multipolar.” Kumpulan media antarabangsa Rossiya Segodnya, syarikat induk RIA Novosti, merupakan rakan maklumat forum itu.
Sechin turut memaklumkan pada Sabtu bahawa Rosneft meletakkan harga minyak sebanyak US$45 setong dalam pelan perniagaan tahun 2025, dan US$42 hingga US$43 setong bagi tahun berikutnya.
“Kita tidak tahu faktor geopolitik apa yang akan mempengaruhi pasaran. Namun, apa pun yang berlaku, syarikat kami Rosneft telah menetapkan harga US$45 setong dalam pelan tahun ini, dan US$42– 43 setong bagi tahun depan. Kami tidak mahu bergantung kepada turun naik ini,” katanya.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI