Oleh Abdul Hamid A Rahman and K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Pasaran getah dijangka berada dalam aliran rendah minggu depan, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Timur Tengah, kata Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).
Jurucakap MARGMA berkata sentimen pasaran kekal lemah dan terus memberi tekanan kepada keyakinan pelabur serta aktiviti perniagaan.
“Pasaran mungkin mengalami aliran menurun minggu depan berikutan peningkatan ketegangan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan dan permintaan lemah dari China dan Amerika Syarikat.
"Pasaran akan kekal sensitif terhadap niaga hadapan getah serantau, pergerakan ringgit berbanding dolar AS dan turun naik minyak mentah sebagai penanda aras," katanya.
Sementara itu, pakar industri Denis Low berkata pasaran getah dijangka diniagakan berhati-hati dengan kecenderungan menurun minggu depan, dengan aktiviti menambah stok simpanan berperanan sebagai pemacu utama.
"Gangguan cuaca adalah satu lagi faktor utama yang perlu dipantau kerana Jabatan Meteorologi Thailand telah memberi amaran mengenai Monsun Barat Daya yang semakin meningkat, yang boleh menyebabkan hujan lebat dan angin kencang ke kawasan pengeluar getah," katanya.
Bagi asas minggu ke minggu, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia atau SMR 20 meningkat sebanyak setengah sen kepada 703.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 10 sen kepada 589.0 sen sekilogram.
-- BERNAMA