BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang membatalkan lesen motosikal Program MyLesen B2, sekiranya terlibat dengan aktiviti merempit atau kesalahan jalan raya lain.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata beliau telah mengarahkan Pengarah Bahagian Pelesenan Pemandu untuk meneliti perkara tersebut, sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
Beliau menegaskan kerajaan telah mengeluarkan peruntukan besar untuk program itu bagi memudahkan golongan B40 memperoleh lesen memandu Kelas B2, justeru penerima perlu mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan.
“Penerima lesen melalui subsidi kerajaan ini akan direkodkan berasingan dalam sistem JPJ sebagai penerima Program MyLesen. Jadi kalau ditahan di luar, kita akan ambil tindakan sehinggalah pembatalan lesen tersebut.
“Kalau nak ambil (lesen) kena mohon semula kepada instiusi atau sekolah memandu itu, buat bayaran dan duduki ujian dari mula sampai selesai (peroleh lesen), saya nak ingatkan itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 tahun 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini, hari ini.
Sementara itu, Aedy Fadly berkata pada tahun ini, Program MyLesen turut diperluas kepada pelajar sekolah menengah, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta belia, yang mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu golongan B40 memiliki lesen memandu sah sekali gus memperluas akses kepada peluang pekerjaan khususnya dalam sektor ekonomi gig.
“Bagi menjayakan pelaksanaan program ini, kerajaan telah memperuntukkan RM5.8 juta tahun ini merangkumi keseluruhan kos latihan dan pengeluaran lesen kepada 15,000 peserta terpilih di seluruh negara, manakala di Pulau Pinang sahaja melibatkan 993 orang berusia 16 tahun ke atas,” katanya.
-- BERNAMA