AM

UMT CATAT SEJARAH TERSENARAI KELOMPOK 801-850 QS WORLD UNIVERSITY RANKINGS 2026

20/06/2025 04:55 PM

KUALA NERUS, 20 Jun (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencatat sejarah baharu apabila buat kali pertama tersenarai dalam kelompok 801-850 universiti terbaik dunia berdasarkan laporan QS World University Rankings 2026 (QS WUR 2026).

Naib Canselor UMT Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata pencapaian itu hasil perancangan strategik yang mantap serta kerjasama padu daripada seluruh ekosistem universiti.

Beliau berkata kejayaan itu bukan sahaja mencerminkan dedikasi dan iltizam seluruh warga UMT terhadap kecemerlangan akademik dan penyelidikan berimpak tinggi, tetapi juga mengukuhkan kedudukan universiti sebagai peneraju dalam bidang kelautan serta kelestarian alam pada peringkat global.

"Sebelum ini, UMT berada dalam kelompok 1001-1200 universiti terbaik dunia selama lima tahun berturut-turut. QS World University Ranking merupakan sistem penarafan universiti paling berprestij di dunia yang menilai ribuan institusi berdasarkan enam petunjuk utama.

"Lonjakan ke kelompok 801-850 merupakan peningkatan signifikan yang menunjukkan hala tuju strategik universiti menerusi Pelan Strategik UMT 2023-2027 (PSUMT5) yang mula membuahkan hasil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamri berkata penyenaraian itu ialah manifestasi kepada pertumbuhan konsisten universiti dalam bidang teras seperti sains marin, kelestarian alam sekitar dan penyelidikan, serta membuktikan bahawa UMT berada di landasan tepat untuk terus melonjak sebagai universiti berfokus marin terunggul di Malaysia dan disegani pada peringkat global.

Menurut laporan QS WUR 2026, UMT mencatat pencapaian cemerlang dalam beberapa indikator utama termasuk sitasi per pensyarah, kelestarian dan pelajar antarabangsa.

Selain itu, UMT turut menunjukkan prestasi membanggakan dalam penarafan THE Impact Rankings 2025, khususnya dalam aspek kelestarian alam sekitar apabila mencatat skor tinggi, iaitu 75.4 dalam SDG 14: Life Below Water dan 82.0 dalam SDG 15: Life on Land.

Beliau berkata kejayaan itu membuktikan kesediaan UMT dalam memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, memperkukuh penyelidikan dalam bidang strategik dan meneruskan peranan dalam membentuk masa depan yang lestari.

"Walaupun UMT ialah universiti berskala sederhana, dengan fokus yang jelas dan semangat kolektif kita mampu bersaing di pentas dunia.

"Terima kasih kepada semua rakan industri, alumni dan komuniti terhadap sokongan berterusan dalam usaha mentransformasikan UMT," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan