JENAYAH & MAHKAMAH

KASTAM RAMPAS HAMPIR 1.9 JUTA BATANG ROKOK SELUDUP, 377 KG TEMBAKAU

19/06/2025 06:10 PM

SEPANG, 19 Jun (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas hampir 1.9 juta batang rokok pelbagai jenama dan 377 kilogram tembakau dianggar bernilai lebih RM1.3 juta termasuk duti dan cukai di sebuah bangunan usang di Cheras, Kuala Lumpur, 22 Mei lepas.

Pengarah JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Zulkifli Muhammad berkata sindiket penyeludupan dikesan menggunakan bangunan usang dan terbiar yang tidak mencurigakan itu sebagai stor penyimpanan rokok seludup.

“Bangunan terbiar tanpa pintu dan tingkap itu dijadikan lokasi penyimpanan rokok putih seludup bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kalau tengok (bangunan itu), orang pun tidak akan kisah kerana keadaannya memang tidak mencurigakan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pemilik premis berkenaan sedang dikesan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Zulkifli berkata pihaknya juga berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 62,000 liter cecair rokok elektronik bernikotin melalui satu dagangan di premis sebuah pengendali terminal kargo udara dalam Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 28 April lepas.

Beliau berkata sindiket yang terlibat cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mengisytiharkan produk terbabit sebagai rokok elektronik pakai buang, yang tidak memerlukan lesen import daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Nikotin diklasifikasikan sebagai barang larangan di bawah Butiran 4, Jadual II, Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, dan hanya boleh diimport dengan lesen sah daripada KKM.

“Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM334,000, dengan jumlah duti dan cukai terlibat sebanyak RM60,680,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Peraturan 30(1), Peraturan-Peraturan Zon Bebas 1991.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan