KUCHING, 19 Jun (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak bersama Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) sedang melaksanakan satu inisiatif transformasi digital dalam sistem pendaftaran perniagaan untuk meningkatkan kadar penubuhan perniagaan baharu di negeri itu.
MPC Wilayah Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata inisiatif tersebut juga bertujuan untuk mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih cekap dan mesra perniagaan serta memperbaiki mutu perkhidmatan kerajaan dalam membantu usahawan dan pelabur.
"Inisiatif ini seiring dengan usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pusat ekonomi digital yang inovatif dan inklusif," katanya.
Satu sesi libat urus turut diadakan di sini pada Rabu sebagai langkah awal pelaksanaan inisiatif berkenaan, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi pelesenan, pihak berkuasa tempatan, pemain industri, serta kementerian dan jabatan berkaitan.
Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr Mohamad Norjayadi Tamam berkata, sesi itu selaras dengan keputusan mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) mengenai pelaksanaan inisiatif penting seperti projek rintis reformasi pendaftaran perniagaan menerusi pendekatan Uji Kaji Peraturan (Regulatory Sandbox).
“Sesi libat urus ini juga bertujuan menilai status semasa proses memulakan perniagaan, meneroka potensi digitalisasi melalui sistem sehenti dan “super form”, serta mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pelbagai pihak yang terlibat," katanya dalam kenyataan itu.
Susulan sesi libat urus berkenaan, sebuah projek rintis reformasi pendaftaran perniagaan akan bermula pada 1 Ogos ini di Bahagian Sibu.
-- BERNAMA