JOHOR BAHRU, 18 Jun (Bernama) -- Kerajaan Johor memperuntukkan RM500,000 bagi pembangunan sistem tanah negeri, e-SBKS (Serah Balik Kurnia Semula) dalam usaha mempercepat urusan SBKS, ubah syarat, pecah sempadan dan pindah milik, yang dijangka dilancarkan pada September ini.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam hantaran Facebook berkata inisiatif itu antara lain menjadikan tempoh permohonan SBKS kini dipendekkan daripada 510 hari kepada hanya 53 hari.
“Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM1.55 juta untuk naik taraf Portal Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB) merangkumi e-serahan, e-carian, dan e-consent. Carian persendirian dalam talian hak milik strata telah tersedia dan bakal diperluas kepada hak milik landed,” katanya.
Beliau turut berpeluang meninjau kemajuan kerja-kerja menaik taraf Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor yang sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Julai ini.
Penambahbaikan ini katanya, melibatkan penaiktarafan menyeluruh, termasuk penambahan 12 unit kaunter baharu khusus untuk urusan hak milik strata dan mewujudkan 54 jawatan baharu.
“Sebelum penambahbaikan ini, keupayaan pemprosesan urusan hak milik strata adalah sekitar 120 folder sehari. Dengan inisiatif baharu ini, kapasiti pemprosesan meningkat lima kali ganda kepada 600 folder sehari sekali gus mempercepat penyampaian dan mengurangkan tunggakan kerja,” katanya.
-- BERNAMA