KOTA BHARU, 18 Jun (Bernama) -- Kerajaan Kelantan menegaskan pendirian untuk tidak membenarkan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri itu, dengan tiada sebarang lesen perniagaan dikeluarkan kepada premis yang ingin menjual produk berkenaan sejak lebih sedekad lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata langkah itu diambil bukan untuk mengharamkan penggunaan vape secara individu tetapi bagi mengawal akses produk itu terutama dalam kalangan remaja dan pelajar.
“Kami tidak keluarkan lesen penjualan vape di mana-mana premis sejak 2013 lagi. Kelantan bersama Johor antara negeri terawal mengambil tindakan ini, yang kemudiannya diikuti oleh Terengganu, Kedah dan terbaharu Selangor,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Hilmi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang diluluskan Parlimen tahun lepas tetapi masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya oleh kerajaan pusat.
Beliau berkata pengeluaran nikotin daripada senarai racun dalam Jadual Pertama di bawah Akta Racun 1952 menyebabkan vape kini boleh dijual secara sah, selagi tiada kawal selia khusus dikuatkuasakan.
“Isu sekarang adalah apabila nikotin dikeluarkan daripada Akta Racun 1952, penjualan vape menjadi terbuka kerana tiada lagi badan pengawal utama. Selagi Akta 852 belum dikuatkuasakan sepenuhnya, banyak kelompongan wujud dari segi kawal selia,” katanya.
Hilmi turut memaklumkan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan terus menjalankan penguatkuasaan berkala bagi mengekang penjualan vape tanpa lesen.
“Sepanjang tahun 2024, sebanyak 40 operasi dengan 67 sitaan telah dijalankan, manakala dari Januari hingga Mac 2025, sebanyak 10 operasi dan 16 sitaan direkodkan,” jelasnya.
Beliau menegaskan mana-mana premis yang didapati menjual vape secara berulang akan dikenakan tindakan tegas termasuk penarikan balik lesen perniagaan dan tidak lagi dibenarkan beroperasi.
Mengulas lanjut, Hilmi mengakui masih wujud penjualan haram dan premis tidak berlesen, khususnya menerusi platform dalam talian yang berada di luar bidang kuasa PBT.
“Kuasa kita hanya terhad di peringkat PBT. Penjualan dalam talian sukar dikawal kerana buat masa ini kerajaan pusat masih membenarkan vape dijual secara terbuka. Ini membuka ruang kepada penjualan tidak sah terus berlaku,” katanya.
-- BERNAMA