LUMUT, 15 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dijadual merasmikan Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak di Lumut Waterfront di sini.
Menariknya dalam program terakhir PMR 2025 Perak kali ini terdapat program satelit apabila Perdana Menteri akan melawat Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan menghadiri Kenduri Rakyat bersama warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut.
Pada majlis itu, Anwar juga akan menyerahkan cek cura Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI serta meluangkan masa meninjau sendiri perkhidmatan yang disediakan di reruai agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung hari ini antaranya Forum: War on Sugar Demo Interaktif Masakan Sihat dan Selamat oleh Kementerian Kesihatan; Pocket Talk: Jom Jimat bersama NUR@PETRA dan AWAS!! Penipuan Siber serta Kahoot Cyber Challenge.
Turut diadakan persembahan kebudayaan Kumpulan Selendang Perak, persembahan penghibur jalanan dan cabutan bertuah dengan hadiah menarik untuk pengunjung.
Perak merupakan lokasi kedua bagi penganjuran PMR berskala besar, hasil kerjasama strategik antara Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri selaku sekretariat induk dan Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai kementerian peneraju.
PMR 2025 dilaksanakan dalam dua skala iaitu besar dan kecil.
Edisi pertama PMR 2025 yang berskala besar telah berlangsung di Majlis Perbandaran Tawau, Sabah dari 9 hingga 11 Mei lepas.
-- BERNAMA