AM

IJN SERTAI HAWANA 2025, TEKANKAN KEPENTINGAN PENGESANAN AWAL PENYAKIT JANTUNG

14/06/2025 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Penyertaan Institut Jantung Negara (IJN) pada Majlis Kemuncak Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, bertujuan memperluas kesedaran mengenai kepentingan pengesanan awal penyakit jantung, khususnya dalam kalangan pengamal media.

Penyelaras Tanggungjawab Sosial Korporat IJN Nur Fatiha Azureen Roslan berkata kerjasama dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) adalah sebagai penghargaan kepada warga media, yang berperanan penting dalam menyampaikan maklumat kesihatan kepada masyarakat.

“Inisiatif ini menjadi platform untuk IJN mendekati pengamal media secara langsung, bagi memperkukuh kesedaran kesihatan jantung serta menggalakkan mereka menjadi penyampai maklumat kesihatan kepada komuniti.

“Mesej utama yang ingin kami sampaikan ialah tentang pentingnya pengesanan awal. Serangan jantung boleh berlaku secara mengejut, termasuk ketika bertugas. Pemeriksaan awal boleh menyelamatkan nyawa dan mengelakkan komplikasi serius,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di reruai IJN di WTCKL, hari ini.

Beliau berkata sempena Majlis Kemuncak HAWANA 2025, reruai IJN menyediakan pemeriksaan kesihatan asas secara percuma seperti saringan tekanan darah, bacaan gula dan kolesterol, serta konsultasi awal bersama pegawai perubatan.

“Kami juga berkongsi maklumat kepada pengunjung tentang perkhidmatan rawatan jantung yang ditawarkan di IJN termasuk langkah pencegahan, simptom awal serangan jantung dan kepentingan menjalani pemeriksaan berkala,” katanya.

Nur Fatiha Azureen berkata dalam usaha menggalakkan pengesanan awal, IJN turut menawarkan diskaun istimewa daripada 15 hingga 30 peratus kepada pengunjung bagi lima pakej saringan jantung melalui IJN Wellness Centre.

Beliau berkata pakej saringan itu terdiri darpada Basic Heart Screening (RM500 kini RM350 - diskaun 30 peratus), Essential Heart Screening (RM900 kini RM765 - diskaun 15 peratus), Heart Scan Screening (RM2,500 kini RM2,000 - diskaun 20 peratus), Premier Heart Screening (RM2,200 kini RM1,760 - diskaun 20 peratus) dan Presidential Heart Screening (RM4,088 kini RM3,270.40 - diskaun 25 peratus).

Nur Fatiha Azureen berkata IJN kini menawarkan pelbagai kemudahan rawatan dan teknologi kardiologi terkini termasuk Pusat Serangan Jantung 24 jam, serta kepakaran dalam subbidang seperti kardiologi intervensi, pembedahan jantung dan rawatan jantung pediatrik.

“Melalui penyertaan ini, kami berharap warga media lebih peka terhadap kesihatan jantung masing-masing dan seterusnya menjadi agen penyampai maklumat kesihatan kepada komuniti mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung reruai IJN P. Selvarani, 59, memuji inisiatif menyediakan saringan jantung percuma buat warga media sempena Majlis Kemuncak HAWANA 2025, yang disifatkannya sebagai langkah menghargai pengamal media yang sering kali terlepas pandang dalam aspek kesihatan diri.

Pensyarah sebuah universiti awam itu berkata pengalaman menyertai majlis kemuncak itu, memberikan perspektif baharu yang berguna untuk dikongsikan semula kepada pelajarnya, khususnya berkaitan cabaran yang dihadapi petugas media termasuk berkaitan tekanan kerja dan perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

“Saya sangat menghargai usaha IJN dan Bernama kerana bukan sahaja menyediakan pemeriksaan kesihatan, tetapi juga menjadikan warga media sebagai fokus utama. Ini satu bentuk penghargaan terhadap jasa mereka yang tidak ternilai,” katanya.

Seorang lagi pengunjung reruai IJN Rosidayu Sabran, 57, pula berkata saringan kesihatan asas yang ditawarkan IJN sempena sambutan kemuncak HAWANA 2025, disifatkan sebagai langkah berkesan mencetuskan kesedaran awal terhadap penyakit jantung dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata inisiatif itu, memberi peluang kepada orang ramai yang sibuk untuk mendapatkan gambaran awal tahap kesihatan mereka melalui pemeriksaan ringkas, yang boleh menjadi indikator awal sebelum mendapatkan rawatan susulan di hospital jika perlu.

Sambutan HAWANA 2025 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama selaku agensi pelaksana, bertujuan mengiktiraf peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.

Tarikh 29 Mei telah diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium dalam membentuk minda masyarakat bermaklumat.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan