KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- “Arwah (bapa) memang tidak pernah berkompromi dari segi prinsip dan kualiti kerja, beliau akan pastikan setiap tugasan selesai sebelum pulang ke rumah,” kata Roz Ariffin Rozaid, 34, anak sulung kepada Allahyarham Rozaid Abdul Rahman, penerima Anugerah Khas Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Berkongsi perasaannya sebaik menerima anugerah itu bagi pihak ayah tercinta yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Roz Ariffin menyifatkannya sebagai satu penghormatan besar buat seluruh keluarga.
“Saya dan seluruh keluarga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur HAWANA atas pengiktirafan ini. Sejujurnya, saya sedih kerana sepatutnya arwah yang berada di sini untuk menerima anugerah ini sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama pada majlis kemuncak yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Allahyarham Rozaid, yang meninggal dunia pada 18 Ogos 2024 akibat serangan jantung pada umur 59 tahun, dikenang sebagai tokoh berpengaruh dalam dunia kewartawanan negara dengan pengalaman melebihi empat dekad dalam industri media.
Dilahirkan di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada 1 Okt 1964, Allahyarham memulakan kerjaya sebagai wartawan kadet di akhbar Utusan Melayu pada 21 April 1984 sebelum menjadi ketua pemberita dan seterusnya mencatat sejarah sebagai individu termuda dilantik sebagai pengarang berita Kumpulan Utusan pada usia 27 tahun.
Roz Ariffin yang bertugas sebagai editor sambilan di syarikat media tempatan berkata bapanya sentiasa menunjukkan teladan kepada keluarga bahawa kerja keras akan membuahkan hasil berpanjangan, dan sikap dedikasi itu jelas terlihat sepanjang hayat Allahyarham.
“Walaupun sedang sakit, beliau masih bertanyakan tugasan harian dan perkembangan kerja-kerja di pejabat. Beliau tetap mengikuti perkembangan semasa dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab.
“ … sepanjang dua bulan sebelum pemergiannya, beliau cepat penat, kurang bertenaga, walaupun dalam keadaan macam itu, (beliau) masih lagi tak pernah tinggalkan tugas-tugasnya. Itu satu inspirasi kepada kami semua,” katanya dan menambah jawatan akhir Allahyarham bapanya ialah sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri.
Menyentuh tentang warisan kewartawanan Allahyarham, Roz Ariffin menyifatkan pengalaman luas yang dilalui bapanya termasuk menemuramah pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Setiausaha PKM Chin Peng dan liputan eksklusif di Bangkok semasa krisis politik Thailand pada 1990-an sebagai sesuatu yang sukar ditandingi.
Beliau berkata antara nilai paling penting yang ditanam Allahyarham ialah sifat tanggungjawab dan kesungguhan dalam setiap perkara dilakukan dengan menekankan bahawa apa sahaja yang dimulakan mesti disiapkan.
Sebagai wartawan, editor dan pemimpin media, Allahyarham Rozaid bukan sahaja menyaksikan perubahan landskap kewartawanan, tetapi turut menjadi pelopor dalam evolusi berita digital di Malaysia termasuk membangunkan portal mStar Online di bawah The Star Media Group serta melancarkan Sinar Daily, versi bahasa Inggeris akhbar Sinar Harian.
Rozaid kembali bertugas di The Star pada 2023 sebagai Pengarang Perundingan Kumpulan sebelum dilantik sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri pada 23 Mei 2023 yang berperanan dalam pengurusan komunikasi kerajaan dan strategi media.
Pemergiannya disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan tanah air, namun legasi beliau kekal terpahat sebagai inspirasi kepada generasi akan datang.
Sementara itu, seorang lagi tokoh wartawan yang juga Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong dipilih sebagai penerima Anugerah HAWANA 2025.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, serta Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj yang juga Pengarah Projek HAWANA 2025.
HAWANA 2025 bertemakan "Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika" disambut meriah kumpulan media tempatan serta antarabangsa.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional mengambil sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium untuk membentuk minda masyarakat bermaklumat.
-- BERNAMA