KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- RHB Islamic Bank Bhd hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) selama tiga tahun bersama AsiaEvents Exsic Sdn Bhd yang juga penganjur Malaysia International Dive Expo (MIDE).
Pemeteraian MoU itu sekali gus mengesahkan peranan bank itu sebagai rakan eksklusif acara itu sehingga 2027.
Majlis pemeteraian di MIDE 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu juga menandakan penglibatan berterusan bank berkenaan dalam usaha pemuliharaan marin di bawah program Ocean Harmoni RHB.
Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Bhd Datuk Adissadikin Ali berkata kerjasama itu membuktikan tumpuan jangka panjang bank dalam menyokong kelestarian alam sekitar selaras dengan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Kami tidak berhasrat untuk menjadi segalanya kepada semua. Sebagai sebuah bank dengan sumber terbatas, kami memilih untuk memberi tumpuan kepada satu aspek alam sekitar iaitu lautan.
“Kehadiran kami bukan untuk mempromosikan selam skuba tetapi aktiviti itu membantu memahami dan menceritakan apa yang berlaku di bawah permukaan laut...ini intipati Ocean Harmoni,” katanya ketika berucap pada acara itu.
Dilancarkan pada tahun 2019, Ocean Harmoni merupakan inisiatif perantaraan yang menyokong kesedaran, penyelidikan dan usaha pemuliharaan berkaitan ekosistem marin Malaysia.
Pada masa sama, ini juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) Ke-14 iaitu Kehidupan di Bawah Air.
RHB Islamic Bank telah menjalin kerjasama dengan enam organisasi dan institusi tempatan pada 2025, termasuk Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaya, Universiti Malaysia Sabah, Ocean Ranger, Diveheart Malaysia dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Pada acara MIDE 2025, bank itu turut melancarkan Kad Debit-i Pelbagai Mata Wang Edisi Terhad RHB Visa Ocean Harmoni bagi memudahkan urus niaga antarabangsa untuk kalangan pengembara.
“Kebanyakan pengembara menghadapi isu sama seperti baki syiling yang tidak digunakan dan kesukaran mencari tempat untuk menukar mata wang.
“Kad ini membantu dengan mengurangkan keperluan membawa wang tunai fizikal sambil menawarkan akses kepada 34 mata wang pada kadar kompetitif,” kata Adissadikin.
Pada sesi berasingan, RHB Islamic Bank turut menganjurkan dua forum awam bersama rakan kongsi Ocean Harmoni – pemuliharaan terumbu karang bertajuk “Corals: So What” dan satu lagi mengenai selaman inklusif iaitu Forum Adaptive Scuba.
MIDE 2025 yang berlangsung pada 13-15 Jun, menghimpunkan lebih 200 pempamer, termasuk pengendali selaman, pembekal peralatan, lembaga pelancongan dan pertubuhan bukan kerajaan.
-- BERNAMA