AM

NTW 2025 TARIK LEBIH DUA JUTA PENYERTAAN

14/06/2025 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 bagi membudayakan penyertaan latihan kemahiran dalam kalangan rakyat Malaysia berjaya menarik lebih dua juta penyertaan, dua kali ganda berbanding sasaran. 

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata penyertaan pada tahun ketiga penganjuran NTW itu melibatkan lebih 71,000 kursus fizikal, dalam talian dan hibrid secara percuma di seluruh negara bermula pada hari ini hingga Sabtu depan (21 Jun), satu lonjakan besar berbanding lebih 300,000 penyertaan pada tahun lepas.

“Lebih 41 peratus daripada kursus berkenaan berkaitan Industri 4.0. Bagi mempertingkatkan kemahiran rakyat dalam aspek Industri 4.0 bersempena dengan NTW tahun ini, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melaksanakan program AI-4-Educators bermula pada 7 April hingga 12 Jun lepas. 

“Ia bagi melatih hampir 400,000 pendidik dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk pengajaran  teknik, kemahiran serta isu-isu seperti etika agar barisan hadapan sektor pembangunan modal insan kita mempunyai ilmu dan kemahiran berdepan cabaran era AI,” katanya ketika berucap pada majlis kemuncak NTW di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini. 

Melibatkan lima modul latihan kendiri merangkumi penggunaan AI dalam pengajaran, isu kebolehcapaian dan etika, program AI-4-Educators turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai penyertaan terbesar pendidik dalam program latihan AI.

Sim berkata negara memperuntukkan kira-kira RM10 bilion bagi aspek pembangunan kemahiran, dengan 30 peratus daripadanya merupakan levi syarikat-syarikat swasta untuk melatih pekerja-pekerja mereka.

“KESUMA sedar dengan kedudukan kewangan yang begitu besar, strategi harus tepat dengan peredaran zaman agar rakyat boleh mendapat manfaat … justeru, tahun lepas kita menghasilkan portal MyMahir yang  membantu bukan sahaja agensi kerajaan dan syarikat swasta, tetapi juga individu untuk membuat keputusan tentang pelan pembangunan kemahiran berdasarkan kriteria ekonomi.

“Bagi tahun pertama ini, KESUMA mendapati para pelatih kita mampu meraih purata gaji 12 peratus lebih tinggi daripada purata gaji pasaran secara amnya. Program ini akan diperkembang dengan lebih rancak  supaya lebih ramai pekerja mendapat manfaat daripada pelaburan dan pembangunan kemahiran oleh Kerajaan MADANI,” katanya. 

Sementara itu, Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dalam kenyataan memaklumkan antara kursus popular sepanjang NTW 2025 ialah Neurodiversity Virtual Training, Cyber Security Threat Management (CSTM), ChatGPT Malaysia Community: Malaysia’s Premier AI Learning Platform, Drone Flying Skills for New Pilots, Tax Planning for Individuals’ Year 2025 dan Generative AI For Everyone.

Kesemua aktiviti NTW 2025 berpaksikan kepada lima teras utama, iaitu Kemahiran Hidup, Kemahiran Masa Depan, Kreativiti dan Inovasi, Literasi Kewangan serta Pembangunan Mampan. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan