KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Pengamal media berpeluang memperbaharui Kad Perakuan Media yang tamat tempoh dan menerimanya dalam tempoh tiga jam di kaunter khas Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), yang dibuka sempena sambutan kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Penolong Pegawai Penerangan JaPen, S. Shamalaruban berkata kaunter berkenaan dibuka di ruang legar Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dan akan beroperasi dari 9 pagi hingga 4 petang esok (Sabtu).
“Wakil media perlu membawa surat pengesahan majikan yang membuktikan mereka sedang berkhidmat di organisasi media pada tahun semasa. Seterusnya, mereka perlu mendaftar masuk ke dalam sistem JaPen bagi tujuan pembaharuan.
“Mereka boleh hadir terus ke kaunter yang dibuka khas sempena sambutan kemuncak HAWANA ini. Kad Perakuan Media akan disediakan dalam tempoh tiga jam… berbanding tempoh biasa iaitu tiga hari,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.
Kemuncak sambutan HAWANA 2025 bertemakan ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’ akan berlangsung esok, dan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis berprestij itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara bagi meraikan fraterniti media.
HAWANA 2025 dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana, bagi menghargai peranan serta sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.
-- BERNAMA