AM

HAWANA 2025 PERKUKUH PERANAN MEDIA SEBAGAI PEMACU LITERASI MAKLUMAT

13/06/2025 04:48 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menjadi wadah memperkukuh peranan media sebagai pemacu literasi maklumat, sekali gus merapatkan hubungan dengan masyarakat melalui pelbagai aktiviti pendidikan, hiburan dan interaktif.

Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran berkata HAWANA bukan sekadar platform untuk menghargai pengamal media dalam menyampaikan maklumat sahih, malah turut mengiktiraf peranan media sebagai ejen pendidikan awam dalam era limpahan maklumat.

“Kita perlu mendidik masyarakat tentang pelbagai isu berkaitan media dan penyebaran maklumat, termasuk kepentingan literasi media, pengesahan fakta serta bahaya penyebaran maklumat palsu yang boleh menjejaskan keharmonian sosial dan keselamatan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival HAWANA 2025 di ruang legar Sunway Putra Mall di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 serta pengurusan tertinggi Bernama. 

Majlis perasmian karnival itu turut dihadiri Pengurus Besar On Air Presentation Berita & Ehwal Semasa, Rangkaian TV Media Prima, Media Prima Berhad Kamaruddin Mape; Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Erwin Khairul Ahmad; Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah Datuk Lichong Angkui dan Pengurus Besar The Borneo Post dan Utusan Borneo merangkap Ahli Lembaga Pengelola Bernama Phyllis Wong Yang Wong.

Mano berkata sejak diperkenalkan pada 2018, HAWANA telah menjadi simbol pengiktirafan peranan wartawan dalam membentuk pemikiran rakyat, memperjuangkan kebebasan bersuara serta menyuarakan aspirasi masyarakat.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur khususnya Kementerian Komunikasi dan Bernama yang terus komited memperkasakan kewartawanan negara melalui pendekatan yang inklusif dan berinovasi,” katanya.

Selain itu, Mano berkata Meja Semakan Fakta Bernama (MyCheck Malaysia) adalah inisiatif semakan fakta secara bebas oleh agensi berita itu bagi mendidik masyarakat berhubung literasi media dengan memberi fokus kepada isu-isu memberi impak kepada kehidupan masyarakat.

"Setakat ini, lebih 400 laporan semakan fakta telah dihasilkan sejak 2020 dan boleh dibaca di www.mycheck.my. Laporan Mycheck turut disiarkan dalam bentuk hantaran di media sosial seperti di Facebook, Instagram, X dan TikTok," katanya.

Karnival HAWANA 2025 berlangsung selama tiga hari mulai hari ini dan antara aktiviti diadakan ialah sesi bual santai bersama agensi, kuiz, persembahan artis jemputan, aktiviti mewarna, sesi temu mesra, selain forum dan bengkel berkaitan penulisan kreatif, fotografi, audio siar serta literasi media.

Bagi zon interaktif media, pengunjung berpeluang merasai pengalaman dunia penyiaran melalui reruai Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Prima Berhad, Astro dan TV AlHijrah selain lintas langsung menerusi Studio Mini HAWANA oleh Bernama TV, permainan interaktif ‘Breaking News’ oleh Bernama Radio serta pameran Kempen Internet Selamat (KIS) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pameran agensi dan reruai interaktif turut menampilkan teknologi penyiaran digital oleh kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), jualan buku foto serta arkib media.

Karnival ini turut disertai agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selain gerai jualan oleh usahawan muda serta ‘Pasar Komuniti’ melibatkan koperasi media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan alumni wartawan.

Esok, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan Majlis Kemuncak HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan