EKONOMI

JUALAN DAGANGAN RUNCIT, BORONG MALAYSIA CATAT JUALAN RM151.7 BILION PADA APRIL 2025

13/06/2025 02:48 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Perdagangan borong dan runcit Malaysia pada April 2025 mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM151.7 bilion, mencerminkan pertumbuhan 4.7 peratus tahun ke tahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan didorong terutamanya oleh prestasi subsektor perdagangan runcit dan borong.

“Subsektor perdagangan borong mencatatkan jualan sebanyak RM67.3 bilion, iaitu peningkatan RM3.5 bilion atau 5.5 peratus tahun ke tahun, mencerminkan kestabilan aktiviti perniagaan di seluruh rantaian bekalan.

“Subsektor perdagangan runcit merekodkan RM66.8 bilion, naik RM3.0 bilion atau 4.7 peratus tahun ke tahun, seiring dengan peningkatan perbelanjaan pengguna sempena Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata, jualan runcit dalam talian pada April menunjukkan peningkatan dengan indeks meningkat 6.3 peratus tahun ke tahun.

“Bagaimanapun, bagi pelarasan bermusim, indeks merekodkan pertumbuhan bulan ke bulan sebanyak  -1.2 peratus,” katanya.

Dari segi indeks volum, katanya, perdagangan borong dan runcit mencatatkan kenaikan 4.3 peratus tahun ke tahun, didorong oleh peningkatan 6.6 peratus dan 3.4 peratus masing-masing dalam subsektor perdagangan borong dan runcit.

Mengenai pertumbuhan perdagangan, beliau berkata transaksi pembayaran digital di Malaysia mencatatkan peningkatan kukuh tahun ke tahun pada April 2025.

“Transaksi wang elektronik (E-money) meningkat sebanyak 68.7 peratus kepada RM19.7 bilion, mencerminkan penggunaan yang lebih tinggi dalam pembayaran mikro dan runcit.

“Transaksi menerusi platform pembayaran runcit masa nyata berjumlah RM277.8 bilion, kekal sebagai kaedah pembayaran dengan nilai transaksi tertinggi, manakala transaksi pertukaran proses kewangan (FPX), meningkat 25.4 peratus kepada RM35.5 bilion, disokong oleh aktiviti perbankan dalam talian yang lebih tinggi,” katanya.

Mohd Uzir berkata transaksi kad kredit kekal stabil pada RM17.7 bilion, manakala transaksi kad debit mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus kepada RM13.3 bilion.

“Data ini menunjukkan perkembangan berterusan dalam penggunaan pembayaran digital, selari degan perubahan corak transaksi dan integrasi digital yang semakin meluas dalam ekosistem pembayaran di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan