Oleh Samantha Tan Chiew Tieng
PUTRAJAYA, 13 Jun (Bernama) -- Ledakan maklumat tanpa sempadan menjadikan media bukan sekadar saluran penyampaian berita, tetapi turut berperanan sebagai benteng menangkis maklumat palsu yang boleh menggugat kestabilan negara, selain berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap dasar-dasar kerajaan.
Mengulas peranan media sebagai tiang keempat atau fourth estate dalam sistem demokrasi, Penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mastura Mahamed berkata media umpama "pengawas" dan jambatan antara institusi untuk memastikan integriti, akauntabiliti dan suara rakyat terus didengari.
"Wartawan perlu diberikan ruang, kepercayaan dan perlindungan untuk melaksanakan tugas dengan bebas, selamat dan bermaruah. Hanya dengan cara ini kita dapat membina ekosistem media yang berfungsi, beretika dan menyumbang kepada pembinaan peradaban," katanya kepada Bernama.
Mastura yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM berkata masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak mempunyai latar belakang kewartawanan cenderung menyalahkan media apabila timbul sesuatu isu tanpa memahami sepenuhnya fungsi sebenar media dalam sistem demokrasi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pendekatan kolaboratif melibatkan institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan (NGO) dan industri media untuk mendidik masyarakat mengenai peranan penting media.
"Ini bukan soal memberi sanjungan kepada media tetapi membina kefahaman bahawa media memainkan peranan penting sebagai penyemak dan pengimbang dalam sistem negara bagi menyampaikan suara rakyat, menjelaskan dasar kerajaan serta menjernihkan komunikasi antara rakyat dan kepimpinan nasional termasuk Istitusi Diraja," katanya.
Mastura turut meraikan penyertaan masyarakat dalam ekosistem maklumat melalui penggunaan teknologi namun terdapat kebimbangan terhadap risiko salah guna oleh segelintir pengguna media sosial yang menggunakan identiti palsu dan berinteraksi secara tidak beretika.
"Oleh itu, usaha memperkukuh literasi media dan digital adalah penting agar masyarakat dapat menggunakan teknologi secara berhemah, bertanggungjawab dan berfakta,” katanya.
Selain itu, beliau berkata media juga perlu melibatkan masyarakat sebagai penyumbang maklumat bukan sekadar penonton pasif agar ia dapat membantu proses verifikasi, memperluas sudut pandang dan meningkatkan kepercayaan terhadap laporan disampaikan.
Mastura turut menyeru agar kebajikan pengamal media diberi perhatian serius memandangkan ribuan wartawan di Malaysia bekerja dalam tekanan masa, risiko keselamatan dan tanggungjawab sosial yang tinggi namun sumbangan mereka jarang diberi penghargaan secara terbuka.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 meneliti model negara ASEAN lain yang menyediakan ruang kepada pengamal media menyuarakan kebajikan mereka.
“Di sinilah peranan penting Majlis Media Malaysia untuk menggubal satu kerangka kebajikan menyeluruh termasuk garis panduan, manfaat minimum dan pengiktirafan peranan wartawan bebas mahupun berorganisasi," katanya sambil mencadangkan agar komuniti kewartawanan dibina atas semangat saling menyokong dan bukan persaingan semata-mata.
Oleh itu, latihan semula dan peningkatan kemahiran seperti kewartawanan data, penggunaan teknologi dan etika pemberitaan wajar disediakan untuk memastikan bidang kewartawanan terus berkembang secara berdaya saing dan profesional, kata Mastura.
Beliau berkata walaupun kaedah penyampaian media berubah daripada cetakan kepada digital, siaran radio ke podcast, namun fungsi asas media tidak akan luput ditelan zaman, sebaliknya tetap menjadi tunjang kepada pembangunan negara, pemangkin kemajuan masyarakat dan benteng mempertahankan integriti sistem demokrasi.
Sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, Mastura menyuarakan harapan agar ia menjadi landasan untuk merangka semula masa depan kewartawanan di Malaysia, bukan hanya tertumpu kepada aspek kandungan dan teknologi, tetapi turut menekankan nilai, etika dan peranan sosial dalam membentuk masyarakat bermaklumat dan berintegriti.
Bertemakan "Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika", sambutan yang membuka tirai hari ini dengan Karnival HAWANA 2025 berlangsung di ruang legar Sunway Putra Mall bermula 10 pagi hingga 10 malam, akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran pada 3 petang.
Majlis kemuncak pada Sabtu ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dan dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
-- BERNAMA