AM

HUTAN SIMPAN PIN SUPU DI KINABATANGAN CIPTA SEJARAH, DIMASUKKAN DALAM SENARAI HIJAU IUCN

12/06/2025 09:42 PM

KOTA KINABALU, 12 Jun (Bernama) -- Hutan Simpan Pin Supu (PSFR), terletak di bahagian tengah dataran banjir Hilir Kinabatangan, dimasukkan dalam Senarai Hijau Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), menjadikannya kawasan perlindungan daratan Malaysia yang pertama menerima pengiktirafan antarabangsa itu.

Berkeluasan 4,696 hektar, hutan berkenaan merupakan habitat kepada pelbagai flora dan fauna dengan pelbagai jenis hutan tanah pamah, tasik ladam serta sistem gua kars batu kapur yang kompleks, yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesalinghubungan ekosistem dataran banjir Hilir Kinabatangan yang lebih luas.

World Wide Fund for Nature Malaysia (WWF-Malaysia) memuji pencapaian itu sebagai model untuk pemuliharaan inklusif dan praktikal, kerana kawasan itu diuruskan bersama oleh Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) dan sebuah koperasi komuniti tempatan KOPEL yang mempromosikan kehidupan lestari menerusi ekopelancongan dan pemuliharaan.

Mentor tapak untuk program mendapatkan Senarai Hijau PSFR, Elyrice Alim dari WWF-Malaysia dalam kenyataan menekankan bahawa Senarai Hijau IUCN lebih daripada sekadar label, ia mencerminkan kawasan perlindungan yang diurus dengan baik bertunjangkan hubungan kukuh dengan masyarakat tempatan, pemegang hak dan pertubuhan bukan masyarakat.

"Ini ialah contoh perintis bagaimana kerajaan tempatan boleh bekerjasama dengan komuniti untuk mencapai hasil pemuliharaan yang bermakna. Apa yang menjadikan PSFR benar-benar istimewa ialah penglibatan aktif komuniti sejak awal, termasuk dalam membangunkan bersama pelan pengurusan pertama," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia Sophia Lim berkata Senarai Hijau IUCN ialah bukti komitmen untuk memulihara biodiversiti sambil menyokong pertumbuhan ekonomi dan keterangkuman sosial.

Beliau berkata kerjasama antara SFD dan KOPEL memberikan inspirasi, mewakili lebih dua dekad usaha gigih pemuliharaan yang dipacu komuniti, dan berharap untuk melihat lebih banyak kawasan dilindungi serta terpelihara di seluruh Malaysia mencapai standard global itu.

"Pencapaian ini menunjukkan kejayaan kerjasama tempatan dan menempatkan PSFR bersama beberapa Kawasan Terlindung yang diurus terbaik di dunia. Berdasarkan momentum ini, Taman Tun Mustapha, satu daripada kawasan perlindungan marin ikonik Sabah yang diuruskan oleh Taman Sabah, kini sedang membuat persiapan bagi penilaian Senarai Hijau IUCN.

"Proses ini melibatkan penilaian sejauh mana taman itu diurus dan dilindungi untuk memenuhi piawaian antarabangsa. Ia mencerminkan komitmen berterusan Sabah secara kolektif terhadap kecemerlangan pemuliharaan. Bersama-sama, kita boleh merealisasikannya," tambahnya.

Lim juga berkata bahawa pengiktirafan PSFR dalam Senarai Hijau IUCN menandakan detik penting untuk pemuliharaan di Sabah dan Malaysia, yang direalisasikan dengan dedikasi dan kerjasama pelbagai pihak.

Sebagai rakan kongsi pelaksana program Senarai Hijau IUCN di Malaysia, WWF-Malaysia menyokong promosi, penyelarasan dan kemudahan teknikal proses Senarai Hijau di seluruh negara termasuk membantu usaha semasa dan masa hadapan oleh kawasan perlindungan yang berusaha mendapatkan pengiktirafan itu. 

Terdahulu pada Mei 2022, Kawasan Perlindungan Marin Kepulauan Sugud turut menerima pengiktirafan tersebut.

Kemasukan PSFR dalam senarai itu menjadi contoh kepada komitmen terhadap pemuliharaan biodiversiti, pengurusan berkesan dan pendekatan berasaskan komuniti yang inklusif.

Buat masa ini, ia merupakan satu-satunya kawasan hutan di Sabah yang diuruskan dengan kerjasama komuniti tempatan iaitu penyertaan yang bermakna diiktiraf sebagai keutamaan utama.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan