KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Lebih 130 aktiviti menanti pengunjung sempena sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2025 di Dataran Merdeka di sini bermula esok hingga Ahad ini.
Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM) Ahmad Farhan Rosli berkata bertemakan “Yakin Boleh”, sambutan tahun ini mengetengahkan lima segmen utama iaitu Port Jana Duit (TVET dan kerjaya), Port Healing (kesihatan mental), Port Gaming (e-sukan), Port Wadah Insan serta Pavilion ASEAN yang menampilkan keterlibatan belia dari 10 negara ASEAN.
“Program ini menampilkan pelbagai segmen menarik termasuk Konsert Belia ASEAN, pameran kerjaya MYFutureJobs dan keusahawanan, perkongsian oleh pencipta kandungan digital, pameran auto motosikal dan kereta serta segmen TVET dan teknologi belia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata turut diadakan aktiviti berbentuk cabaran, bengkel interaktif dan forum melibatkan tokoh-tokoh muda dalam bidang teknologi, inovasi dan kepimpinan.
Ahmad Farhan berkata majlis kemuncak sambutan itu dijadual disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 malam, Sabtu ini.
Beliau berkata acara itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara 2025 dan pelbagai persembahan daripada artis tempatan.
Justeru, beliau mengajak orang ramai khususnya belia untuk hadir menyertai pelbagai aktiviti disediakan sempena penganjuran HBN 2025 yang mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Belia dan Sukan bersama MBM dan rakan strategik dalam memperkasakan pembangunan belia melalui pendekatan inklusif, progresif dan sejajar arus Revolusi Industri 4.0.
-- BERNAMA