AM

1,478 PREMIS DIPERIKSA SEPANJANG SHMMP PESTA KAAMATAN, HARI GAWAI - KPDN

12/06/2025 03:13 PM

PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memeriksa 1,478 premis perniagaan di seluruh negara sepanjang penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2025.

SHMMP Pesta Kaamatan dilaksanakan dari 27 Mei hingga 2 Jun lepas manakala SHMMP Hari Gawai bermula 29 Mei hingga 4 Jun.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata sepanjang pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan, sebanyak 667 pemeriksaan telah dijalankan dengan dua tindakan undang-undang telah diambil terhadap peniaga ingkar.

“Tindakan undang-undang yang telah dikenakan adalah melibatkan kes gagal mempamerkan tanda harga khas merah jambu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelaksanaan SHMMP Hari Gawai pula melibatkan 811 pemeriksaan dengan sembilan tindakan undang-undang telah diambil terhadap peniaga yang ingkar, dan ia melibatkan sitaan bernilai RM1,647.40.

Azman berkata KPDN tidak menerima sebarang aduan semasa pelaksanaan SHMMP kedua-dua perayaan itu dan majoriti peniaga yang diperiksa komited serta mematuhi perundangan harga maksimum yang berkuat kuasa sepanjang pelaksanaan skim itu.

Sebanyak 10 barang terlibat di bawah SHMMP Pesta Kaamatan termasuk bawang kuning besar import dan bawang merah besar import, manakala SHMMP Hari Gawai pula melibatkan 11 jenis barang antaranya ayam tua hidup, kepak ayam, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing).

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan