AM

GENTING CULINARY CLASSIC 2025 RAIKAN BAKAT SENI KULINARI

11/06/2025 11:59 PM

GENTING HIGHLANDS, 11 Jun (Bernama) -- Genting Culinary Classic 2025 melabuhkan tirainya hari ini, sekali gus menonjolkan bakat baharu dalam bidang seni kulinari di negara ini.

Pertandingan yang berlangsung dua hari bermula semalam di Genting International Showroom itu dianjurkan dengan kerjasama Resorts World Genting (RWG) dan Pertandingan Memasak Anugerah Hospitaliti Platinum Asia (HAPA).

Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG Spencer Lee berkata pertandingan berkenaan tercetus daripada keyakinan bahawa makanan adalah ‘bahasa sejagat’ yang menyatukan insan, mengilhamkan kreativiti dan menyampaikan kisah merentasi pelbagai budaya.

“RWG telah lama berhasrat untuk menjadi lebih daripada sekadar destinasi hiburan. Kami pernah menjadi tuan rumah kepada cef-cef terkenal dan acara kulinari bertaraf Michelin. Pertandingan ini mencerminkan komitmen kami untuk meningkatkan mutu kulinari, meraikan warisan dan memupuk inovasi,” katanya kepada Bernama.

Lee berkata ia juga bermatlamat memberi inspirasi dan memperkasakan generasi baharu profesional kulinari, dengan peserta akhir terdiri daripada cef berpengalaman sehinggalah tukang masak amatur yang belajar secara sendiri di rumah.

“Pertandingan ini memberi memberi peluang istimewa kepada cef-cef muda untuk mendapatkan maklum balas daripada tokoh terkemuka dalam industri, menjalin hubungan dengan cef terkenal serta bekerja dalam persekitaran kulinari sebenar yang penuh tekanan,” katanya.

Beliau berkata pertandingan terbabit menerima jumlah penyertaan yang tinggi, mencerminkan peningkatan minat di peringkat serantau terhadap seni kulinari dan inovasi.

Lee berkata sebanyak 20 peserta akhir dipilih menerusi proses saringan di seluruh negara dengan mempamerkan kreativiti, teknik dan keupayaan mengendalikan tekanan.

“Pertunjukan seni kulinari ini juga menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 oleh Tourism Malaysia, yang bermatlamat menjadikan Malaysia destinasi utama pelancongan makanan,” katanya.

Peserta dari Kedah, Budiman Bistari Mohamed dinobatkan juara pertandingan itu dengan membawa pulang wang tunai RM25,000, piala dan sijil, manakala naib juara disandang Lo Tshun Ket dengan menerima wang tunai RM15,000 berserta piala dan sijil manakala Lim Boon Ghee di tempat ketiga menerima wang tunai RM10,000, piala dan sijil.

Budiman yang berkhidmat sebagai pembantu cef di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur berkata keaslian adalah kunci dalam menghayati tema klasik pertandingan itu, dengan penekanan terhadap mengekalkan cita rasa tradisional.

“Apabila mereka (juri) menyebut klasik, mereka sebenarnya mahukan sesuatu yang asli, hidangan yang  benar-benar mengekalkan asal-usulnya. Menu saya menampilkan ayam golek dan kerabu, bukan sesuatu yang pelik atau luar biasa. Inti pati hidangan itu perlu kekal dikenali dan berpegang pada tradisi,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata keaslian seumpama itu amat penting untuk mengangkat masakan tradisional Malaysia agar setanding dengan hidangan antarabangsa, khususnya dalam pertandingan.

“Apabila kita mengekalkan identiti kulinari kita dengan utuh, barulah kita dapat menonjolkan makanan kita di persada antarabangsa. Ia bukan soal mencipta sesuatu yang baharu, tetapi menghargai nilai dan keaslian yang telah lama wujud,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan