AM

AI PENTING DALAM MEMBANTU PERNIAGAAN MEMENUHI SASARAN KECEKAPAN TENAGA

11/06/2025 08:54 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Kecerdasan Buatan (AI) akan menjadi penting dalam membantu perniagaan Malaysia memenuhi sasaran kecekapan tenaga dan peralihan ke arah masa depan karbon rendah, terutamanya di bawah Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) yang baru dikuatkuasakan.

Ketua Pegawai Operasi dan Pengasas Bersama Pantas, Nurul Syaheedah Jes Izman berkata alat berasaskan AI adalah perlu untuk mengatasi peningkatan kos operasi dan kerumitan data dalam pelaporan kemampanan, terutamanya apabila perniagaan bersedia bagi memenuhi keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta karbon yang lebih ketat.

EECA berfungsi sebagai seruan yang tepat pada masanya kepada syarikat untuk menimbang semula penggunaan tenaga mereka, bukan hanya di bangunan tetapi di seluruh operasi. 

"Saya berpendapat EECA adalah seperti penasihat kewangan yang serius yang memberitahu anda untuk melihat di mana wang anda dibazirkan.

"Audit tenaga hanya langkah pertama, ianya mendedahkan kebocoran dan ketidakcekapan membabitkan jentera lama atau sistem penghawa dingin yang tidak perlu secara semalaman," katanya kepada Bernama selepas muncul sebagai tetamu dalam program 'The Nation' Bernama TV dengan tajuk Peranan Malaysia dalam Peralihan Hijau.

Pantas merupakan platform AI untuk menguruskan pelepasan karbon serta pelaporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Nurul Syaheedah menyatakan bahawa walaupun syarikat-syarikat besar diberi mandat untuk melantik pengurus tenaga yang berdaftar, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh bermula dengan langkah-langkah mudah seperti beralih ke diod pancaran cahaya (LED) atau memupuk tabiat penjimatan tenaga.

Beliau mengakui kos kekal menjadi penghalang utama.

"Beralih ke sistem pemanasan, pengudaraan dan penghawa dingin (HVAC) yang cekap tenaga untuk pusat membeli-belah bersaiz sederhana boleh menelan kos awal sehingga RM16 juta dan ini adalah penghalang utama.

"Untuk menangani cabaran ini, Pantas baru-baru ini telah memperkenalkan platform tenaga AI yang mampu berintegrasi dengan sistem pengurusan bangunan sedia ada," katanya. 

Beliau berkata alat itersebut akan memanfaatkan pengoptimuman jangkaan bagi meminimumkan penggunaan HVAC berdasarkan corak penghunian bangunan dan ia mampu mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 40 peratus. 

 

Pengurusan Data untuk Pelaporan ESG

Terdahulu dalam program tersebut, Nurul Syaheedah berkata pentingnya pengurusan data yang sesuai untuk pelaporan ESG melangkaui penjimatan operasi. 

"Sebelum anda membuat laporan, anda mesti lebih dahulu mengukur, tetapi bagi syarikat besar yang beroperasi di 30 negara dan memiliki beratus-ratus unit perniagaan, ini bermakna berurusan dengan berjuta-juta titik data yang tidak tersusun.

Banyak syarikat masih bergantung pada input manual dan juga log bahan bakar tulisan tangan, tetapi dengan teknologi yang betul, automasi dapat memusatkan pengumpulan data termasuk meningkatkan ketepatan. 

"Menjelang 2027, syarikat-syarikat di Malaysia memerlukan jaminan pihak ketiga untuk data ESG, jadi meenggunakan sistem yang tepat sekarang adalah penting," katanya.

Ketika bercakap mengenai matlamat pada peringkat ASEAN, beliau amat mengalu-alukan kepimpinan Malaysia dalam inisiatif mesra alam seperti program Grid Tenaga Asean dan Rantai Nilai Hijau (GVC) Bank Negara, yang mana Pantas menjadi rakan kongsi utama.

"GVC telah menunjukkan kuasa kerjasama pelbagai pihak yang melibatkan kerajaan, institusi kewangan dan pemain swasta.

"Sekiranya hal ini tidak diambil serius dan kurang mendapat sambutan, kita akan berisiko untuk dipulau dari rantaian bekalan global kerana kita tidak mematuhi peraturan ESG," katanya sebagai amaran.

Melihat ke hadapan, Nurul Syaheedah berkata Pantas mahu menjadi sistem operasi bagi perniagaan yang berniat beralih ke karbon sifar.

"Matlamat kami adalah untuk membantu syarikat besar melaksanakan usaha nyahkarbon dan mewujudkan impak yang boleh diukur. Memandangkan Malaysia menjadi pengerusi ASEAN tahun ini, kami mempunyai peluang yang jelas bagi menerajui rantau ini dalam inovasi teknologi iklim," katanya lagi.

--- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan