JOHOR BAHRU, 11 Jun (Bernama) -- Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yakin semakan serta peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa 1 Julai ini bakal memberi kesan positif yang ketara terhadap pertumbuhan industri nanas negara.
Pengerusinya Sheikh Umar Bagharib Ali berkata inisiatif itu bukan sahaja meningkatkan hasil negara, malah membuka ruang lebih besar kepada pembangunan serta pengukuhan industri buah-buahan tempatan khususnya nanas.
Beliau berkata sebagai satu daripada komoditi buah-buahan utama negara, nanas mempunyai potensi besar dan pihaknya melihat beberapa kesan positif yang akan menyokong pertumbuhan industri berkenaan.
“Inisiatif ini dapat meningkatkan permintaan nanas tempatan seperti MD2 sekali gus memberi peluang kepada pekebun dan pengusaha tempatan untuk memperluas kawasan tanaman serta meningkatkan pengeluaran mereka.
"Selain itu, permintaan yang lebih tinggi akan memberi impak positif terhadap harga ladang dan pasaran nanas sekali gus meningkatkan pulangan kepada pengusaha kecil, usahawan tani muda dan koperasi pertanian yang bergiat aktif dalam sektor ini, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sheikh Umar Bagharib berkata langkah berkenaan antara lain merangsang sektor hiliran seperti pemprosesan jus nanas, produk snek dan kosmetik berasaskan nanas yang bukan sahaja mencipta peluang pekerjaan, bahkan menambah nilai eksport negara.
"Seterusnya, lonjakan permintaan dijangka menarik pelaburan baharu dalam teknologi pertanian pintar, pusat pengumpulan, pembungkusan serta sistem logistik dan pengedaran yang lebih cekap khususnya di kawasan pengeluaran utama seperti Johor, Pahang, Sarawak dan Sabah.
"Hal ini susulan peluasan SST terhadap buah import secara tidak langsung menempatkan nanas tempatan pada kedudukan yang lebih kompetitif daripada segi harga dan kualiti," katanya.
Beliau berkata sokongan kepada keterjaminan makanan negara akan menyumbang kepada matlamat jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan dan meningkatkan tahap sara diri dalam sektor buah-buahan.
"Kesan daripada peluasan SST ini tidak akan memberi kesan yang ketara kepada pengusaha buah-buahan import. Keadaan ekonomi negara yang semakin baik juga akan memberi manfaat kepada mereka (pengusaha) buat jangka masa yang lebih panjang, " katanya.
Pada 9 Jun, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa 1 Julai 2025.
Kadar Cukai Jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan manakala kadar sama ada lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan yang tidak penting atau mengikut budi bicara.
-- BERNAMA