SHAH ALAM, 11 Jun (Bernama) -- Waris kepada Ku Adib Aizad Ku Azmi, mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan kerajaan negeri atas pemberian wang pampasan daripada wang perlindungan takaful pinjaman pembelajaran anak mereka.
Ku Adib Aizad, penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu merupakan seorang daripada tiga mangsa yang maut selepas dua motosikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah kereta Honda CRV dipandu seorang wanita dalam kemalangan di hadapan kampus berkenaan pada 9 Okt tahun lepas.
Selain pemberian wang pampasan berjumlah RM20,803.67, kerajaan negeri turut melupuskan pinjaman pendidikan sebanyak RM15,050.00 yang telah diterima Allahyarham sekali gus ahli keluarga atau waris pelajar tidak perlu membayar semula pinjaman berkenaan.
Bapa Ku Adib Aizad, Ku Azmi Saad berkata inisiatif itu menunjukkan keprihatinan Amirudin dan kerajaan negeri dalam membantu mereka setelah kehilangan ahli keluarga tercinta secara tiba-tiba.
Ku Azmi berkata ketika Amirudin hadir menziarahi keluarga mereka pada malam 10 Okt 2024, beliau bertanyakan status pinjaman dan pembayaran Ku Adib Aizad yang merupakan penerima pinjaman di bawah Yayasan Selangor, dan Amirudin berjanji untuk merujuk perkara itu kepada pihak berkenaan.
"Selepas itu, saya diminta untuk mengemukakan beberapa dokumen kepada Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) selaku pihak berwajib, dan mereka meminta sedikit masa untuk berbincang dan merujuk perkara itu kepada menteri besar.
"Alhamdulillah, sebagaimana dijanjikan menteri besar untuk membantu berhubung pinjaman pendidikan Ku Adib Aizad ketika hadir menziarahi kami tahun lepas, perkara itu telah direalisasikan hari ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan wang pampasan itu yang disampaikan Amirudin di bangunan Setiausaha Kerajaan negeri, di sini hari ini.
Turut hadir ibu Ku Adib Aizad, Hafizah Iszahanid.
Ku Adib Aizad yang berusia 20 tahun ketika kejadian, merupakan pelajar tajaan TKWBNS.
-- BERNAMA