SEREMBAN, 10 Jun (Bernama) -- Pusat Ikan Hiasan Port Dickson mencatatkan sebanyak 93,247 pengunjung bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, termasuk peningkatan ketara dalam jumlah pelancong luar negara.
Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan Doreen Wee Siew Leen berkata jumlah pelancong luar negara meningkat kepada 2,590 orang setakat Mei, berbanding 1,557 orang dalam tempoh yang sama tahun lepas.
"Walaupun terdapat sedikit penurunan jumlah keseluruhan pengunjung berbanding rekod 95,180 pelawat bagi tempoh Januari hingga Mei tahun lepas, kehadiran pelancong luar negara menunjukkan peningkatan yang ketara.
"Pelancong luar paling ramai ialah dari China dengan 1,439 pelancong, diikuti Singapura (278), Taiwan (131), Jepun (117), Korea (93) dan Kenya (67),” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Dalam pada itu, Wee berkata pelancong domestik pula mencatatkan 90,657 pengunjung setakat Mei ini, berbanding 93,623 pelawat bagi tempoh yang sama pada 2024.
Beliau juga optimis kehadiran pengunjung ke pusat berkenaan akan meningkat menjelang hujung tahun ini dengan rekod memberangsangkan pada tahun lepas sebanyak 281,273 pengunjung.
Wee berkata antara spesies baharu terdapat di Pusat Ikan Hiasan itu ialah dua jerung Blacktip Shark bersaiz 0.6 meter (dua kaki) dan dua belut yellowspotted moray eel jarang ditemukan, yang menjadi tarikan utama di pusat berkenaan.
Selain itu, beliau berkata pengunjung juga boleh melihat pelbagai spesies ikan hiasan marin, teknologi kultur dan propagasi karang, kaedah pembiakan kuda laut dan ikan clownfish yang dipamerkan di pusat itu serta pameran berkaitan anak penyu.
Beliau berkata sejak tempat itu dibuka 16 tahun lepas, ia masih lagi beroperasi secara percuma kepada pengunjung, walaupun terdapat berita melaporkan pusat ikan hiasan ini akan dikenakan bayaran.
“Setakat ini, tiada sebarang bayaran fi dikenakan kepada pengunjung dan Jabatan Perikanan memperuntukkan jumlah anggaran sebanyak RM350,000 setahun untuk penyelenggaraan termasuk makanan ikan dan pembersihan di pusat ikan hiasan ini," katanya.
-- BERNAMA