KUALA TERENGGANU, 10 Jun (Bernama) -- Yayasan Terengganu (YT) bercadang menjalinkan kerjasama dengan syarikat pengusaha bas yang mempunyai reputasi baik bagi kemudahan ahli Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) pulang ke kampung semasa cuti panjang atau musim perayaan.
Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan Tinggi) YT Wan Mohamad Nazir Wan Jusoh berkata langkah itu bagi memastikan keselamatan mereka lebih terjamin, susulan nahas yang mengorbankan nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur- Barat (JRTB) di Gerik, Perak.
Beliau berkata sebahagian pelajar yang terlibat dalam kemalangan itu terdiri exco dan ahli Permata yang berasal dari daerah Besut dan Setiu.
"Kita akan berbincang lanjut di peringkat pengurusan tertinggi YT dan kepimpinan Permata berkenaan cadangan ini dan perkara lain bagi penambahbaikan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut menafikan bas yang terlibat dengan nahas itu disediakan oleh Permata, sebaliknya ia disewa sendiri oleh pelajar.
Wan Mohamad Nazir berkata walaupun YT memiliki bas sendiri, jumlahnya tidak mencukupi untuk menampung jumlah ahli Permata, iaitu sekitar 10,000 orang di seluruh negara.
Ketika ini keutamaan penggunaan bas untuk sekolah-sekolah Imtiaz yang mempunyai jadual serta program padat sepanjang tahun.
"Kita mempunyai 21 persatuan di bawah Permata di seluruh negara. Sebanyak 19 persatuan ialah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) manakala dua lagi ialah universiti swasta," katanya.
-- BERNAMA