AM

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN BAHARU SELARAS AGENDA REFORMASI PENDIDIKAN

10/06/2025 03:43 PM

KOTA TINGGI, 10 Jun (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyelaraskan agenda reformasi pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang baharu (2026-2035).

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan berkata langkah itu antara usaha berterusan kementerian dalam meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini pada masa akan datang.

"Reformasi pendidikan ini dimulakan pada 2023 yang sudah masuk tahun kedua dan kita memberikan fokus kepada perkara penting untuk diselarikan (dalam pelan pembangunan).

"Ini supaya dapat disesuaikan dengan perubahan yang berlaku dalam perkembangan negara dan juga global. Justeru, kita menyasarkan tempoh 2026 hingga 2035, reformasi pendidikan ini seiring dengan PPPM yang baharu," katanya kepada pemberita semasa melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Adela, di sini hari ini.

Beliau berkata usaha itu penting dalam memastikan institusi sekolah membekalkan modal insan yang berpendidikan berkualiti untuk keperluan negara.

Dalam pada itu, Azman berkata reformasi pendidikan yang dilaksanakan memberikan fokus kepada enam perkara, iaitu intervensi kurikulum, penyelarasan pra sekolah, pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pendidikan digital, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta penguasaan bahasa. 

Usaha itu, antaranya dilaksanakan menerusi siri jelajah dan lawatan ke sekolah di seluruh negeri sekali gus menekankan KPM mempunyai harapan yang tinggi serta terus berusaha bagi memperkukuh sistem pendidikan demi masa depan kira-kira 5.2 juta murid dan pelajar di negara ini.

"Dengan kekuatan lebih 400,000 guru, saya yakin kita dapat memandaikan anak-anak kita di 10,238 sekolah ini," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan