AM

CHOW KETUAI DELEGASI KE SWITZERLAND, AUSTRIA MAJUKAN PROJEK KERETA KABEL BUKIT BENDERA

10/06/2025 01:55 PM

GEORGE TOWN, 10 Jun (Bernama) -- Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini mengetuai delegasi ke Switzerland dan Austria sehingga 16 Jun dalam usaha berterusan kerajaan negeri untuk memajukan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan lawatan kerja yang dianjurkan oleh Doppelmayr dan Hartasuma itu menjadi langkah penting dalam pelaksanaan satu daripada inisiatif mobiliti mampan utama negeri itu, serta bagi memastikan infrastruktur kereta kabel Bukit Bendera dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa tertinggi.

“Chow bersama delegasi akan melawat pembekal utama dan pemimpin industri yang terlibat dalam projek kereta kabel termasuk ibu pejabat dan kemudahan pembuatan Doppelmayr Seilbahnen GmbH di Wolfurt, Austria, pembekal sistem tali kereta kabel Fatzer AG di Romanshorn, pembekal sistem funikular Garaventa AG di Goldau serta pembekal kabin gondola CWA Constructions SA di Olten, Switzerland.

“Lawatan teknikal ini penting bagi memahami kejuruteraan lajutan, prosedur operasi serta piawaian keselamatan ketat yang menjadi asas kepada sistem kereta kabel bertaraf dunia,” menurut kenyataan itu.

Chow dan delegasi turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Bettmeralp di Switzerland, Raron serta syarikat kereta kabel tempatan Aletsch Bahnen AG bagi meneliti amalan terbaik dalam pelancongan pergunungan dan sistem pengangkutan mampan kerana Bettmeralp adalah sebuah perkampungan terkenal yang bebas kenderaan dan hanya boleh diakses melalui kereta kabel.

Menurut kenyataan itu lagi, semua sesi libat urus yang diadakan sepanjang lawatan berkenaan bakal memberi input bernilai dalam memperkukuh pembangunan jangka panjang Bukit Bendera sebagai destinasi yang mampan dan mudah diakses.

“Kerajaan Pulau Pinang komited sepenuhnya untuk melaksanakan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera dengan penekanan yang tidak berbelah bahagi terhadap aspek keselamatan, kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan. Misi rasmi ini adalah bahagian penting daripada komitmen itu,” menurut kenyataan itu.

Projek Kereta Kabel Bukit Bendera akan merangkumi laluan sepanjang 2.73 kilometer dari Taman Botani Pulau Pinang ke puncak Bukit Bendera, dengan tiga stesen utama iaitu Garden Station di kaki bukit, Turn Station di pertengahan laluan dan Hill Station di puncak.

Projek itu turut merangkumi pembinaan tempat letak kereta bertingkat, plaza komersial di hadapan Jabatan Taman Botani serta ruang khas parkir bas.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan