KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) --Tragedi nahas bas yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi ini, disifatkan sebagai satu kecemasan nasional yang memerlukan tindakan tegas dan segera.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Datuk Seri Dr. Mohd Khalid Harun menegaskan aspek keselamatan dalam semua bentuk pengangkutan – sama ada melibatkan pelancong, pelajar mahupun orang awam – adalah perkara asas yang tidak boleh dikompromi.
"Tragedi ini adalah satu panggilan kesedaran. Kita tidak boleh lagi menganggap keselamatan sebagai perkara kedua. Semua pihak berkepentingan daripada pengendali sehinggalah penggubal dasar, perlu menjadikan keselamatan sebagai amanah yang tidak boleh diabaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pengendali bas persiaran bertanggungjawab memastikan keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata MATA mendesak supaya siasatan menyeluruh dan telus dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas, selain tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang cuai atau gagal mematuhi peraturan.
“Tragedi ini seharusnya menjadi titik tolak kepada penambahbaikan menyeluruh terhadap standard keselamatan pengangkutan negara,” katanya.
Menurut beliau, MATA juga akan memperhebat desakan kepada kerajaan agar pelaksanaan pemantauan ketat, audit berkala dan latihan keselamatan wajib diperluaskan kepada semua penyedia pengangkutan berlesen, khususnya yang membawa pelajar dan kumpulan besar.
Katanya MATA akan mencadangkan kerjasama strategik dengan Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan dalam memperkukuh aspek keselamatan bagi mengelakkan insiden seumpamanya berulang.
-- BERNAMA