AM

KERAP BERLAKU KEMALANGAN MAUT, SULTAN PERAK TITAH LAKSANA LANGKAH PREVENTIF

09/06/2025 08:40 PM

IPOH, 9 Jun (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah langkah preventif perlu dilaksanakan berikutan kekerapan kemalangan jalan raya yang meragut nyawa mutakhir ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Nazrin, Meor Hezbullah Meor Abd Malik dalam kenyataan memaklumkan baginda turut menitahkan supaya kemalangan meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) awal pagi tadi dijadikan sebagai pengajaran.

Antaranya bagi mengenal pasti kelemahan yang ada untuk dilakukan penambahbaikan terutamanya dari sudut penguatkuasaan undang-undang dan peraturan agar kejadian seperti itu dapat dielakkan daripada berulang.

“Walaupun pada hakikatnya ajal maut ditentukan oleh Ilahi, baginda berpendirian bahawa Allah SWT menyeru manusia agar berusaha dan berikhtiar untuk mengelakkan diri daripada ancaman, bencana, bahaya dan malapetaka,” katanya.

Meor Hezbullah berkata Sultan Nazrin turut menzahirkan simpati dan ucapan takziah kepada waris mangsa yang kehilangan ahli keluarga dikasihi dalam usia yang begitu muda.

Beliau berkata baginda berdoa agar ibu bapa dan keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian berat itu dan mendoakan agar roh mereka yang terkorban dilimpahi rahmat ihsan Ilahi dan ditempatkan dalam kalangan roh para solihin dan solehah.

Terdahulu, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang juga Canselor UPSI berkenan berangkat ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk menyantuni keluarga mangsa dan mendapat sembah taklimat mengenai tragedi berkenaan daripada pengurusan hospital.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan