JENAYAH & MAHKAMAH

INSIDEN BOT TERBALIK: MANGSA TIDAK PAKAI JAKET KESELAMATAN - POLIS

07/06/2025 08:37 PM

KLANG, 7 Jun (Bernama) -- Semua mangsa yang terlibat dalam insiden bot terbalik di perairan Tanjung Harapan di sini semalam dipercayai tidak memakai jaket keselamatan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata siasatan awal mendapati bot berkenaan sedang dipandu uji dan dikendalikan sendiri oleh pemiliknya.

Beliau berkata kegagalan memakai jaket keselamatan turut menyukarkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) dua daripada enam mangsa yang masih hilang dalam kejadian itu.

“Mereka yang menjalankan aktiviti di laut perlu memakai jaket keselamatan kerana ia amat penting ketika kecemasan seperti kejadian bot terbalik, selain memiliki kemahiran berenang,” katanya pada sidang media di lokasi pencarian di Tanjung Harapan, hari ini.

Vijaya berkata lokasi bot terbalik telah dikenal pasti, namun arus laut yang kuat dipercayai menghanyutkan dua mangsa yang masih hilang ke kawasan lain sebelum tenggelam.

Sementara itu, beliau berkata polis telah merakam keterangan daripada tiga individu, termasuk seorang mangsa yang terselamat.

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 280 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam, tiga individu termasuk seorang kanak-kanak maut, seorang terselamat iaitu Alvin Chang Yan Qin, 17, manakala sepasang suami isteri masih hilang.

Mangsa yang disahkan meninggal dunia ialah Darren Gan, 3; Cheu Son Hin, 50; dan Fong Yong Sen, 29, manakala yang hilang dikenal pasti sebagai Gan Hon Tat, 32, dan isterinya Careen Man, 29, kedua-duanya berasal dari Klang Utama.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan