AM

MALBATT LAKSANA IBADAH KORBAN DI SELATAN LUBNAN, ERAT HUBUNGAN DENGAN KOMUNITI SETEMPAT

07/06/2025 02:15 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Bagi menunaikan tanggungjawab sebagai umat Islam dan menghayati semangat pengorbanan yang menjadi teras perayaan Aidiladha, Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 melaksanakan ibadah korban di Kem Marakah, Selatan Lubnan, semalam.

MALBATT dalam satu kenyataan memaklumkan inisiatif itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidiladha dalam kalangan warga pasukan, malah turut memperkukuh hubungan dua hala antara pasukan tersebut dan masyarakat tempatan, selaras dengan semangat Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC).

“Program ibadah korban yang dilaksanakan ini bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sebagai umat Islam dalam menyambut Aidiladha, malah turut mencerminkan komitmen berterusan MALBATT dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat tempatan selaras dengan semangat misi pengaman UNIFIL.

“Ia melambangkan simbol ketaatan, keikhlasan dan semangat pengorbanan demi ummah serta menzahirkan nilai kasih sayang serta keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan,” menurut kenyataan itu.

Dalam program itu, sebanyak 48 ekor kambing telah dikorbankan, dan daripada jumlah itu 26 ekor telah disumbangkan kepada pihak Takaful Marakah (NGO) dan wakil penduduk Kafr Shuba untuk diagihkan kepada komuniti setempat yang memerlukan.

Majlis turut dimeriahkan dengan aktiviti memasak secara bergotong-royong oleh warga pasukan, dan daging korban dinikmati bersama dalam jamuan Aidiladha yang berlangsung dalam suasana penuh kesyukuran dan keharmonian.

Program ini bukan sahaja mengeratkan ukhuwah sesama anggota, malah mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama berpasukan dalam kalangan anggota MALBATT 850-12.

“Keunikan program ini ialah apabila anggota diberi peluang untuk terlibat secara langsung dalam proses penyembelihan haiwan korban masing-masing,” katanya.

– BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan