KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Umat Islam di seluruh negara hari ini menyambut Aidiladha dengan penuh kesyukuran, dengan ribuan jemaah termasuk pemimpin mengimarahkan masjid untuk bersama-sama bertakbir dan menunaikan solat sunat Aidiladha.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama kira-kira 15,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, Putrajaya dan mendengar khutbah bertajuk “Korban dan Semangat Kebersamaan” yang disampaikan Imam Besar masjid Dr Muhamad Zakuwa Rodzali.
Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menyertai lebih 10,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Di KEDAH, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Albukhary, Alor Setar bersama kira-kira 2,000 jemaah termasuk Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Setiausaha Kerajaan Kedah Datuk Seri Norizan Khazali.
Di PERLIS, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 jemaah di Dataran Istiadat, Istana Arau.
Sementara itu, Menteri Besar Mohd Shukri Ramli menerusi hantaran di Facebook berkata Aidiladha mengajar erti pengorbanan, keikhlasan dan kepatuhan yang tulus kepada perintah Allah SWT selain turut mendoakan semangat korban terus menyatukan semua dengan kasih sayang, perpaduan dan ketakwaan.
Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib bersama isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 5,000 umat Islam di Masjid Negeri Pulau Pinang yang diimamkan Imam Besar masjid Datuk Mohd Nordin Samah.
Di KELANTAN, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhamamd Fakhry Petra berangkat ke Masjid Muhammadi, Kota Bharu untuk menunaikan solat sunat Aidiladha dengan kira-kira 2,000 jemaah termasuk Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Di TERENGGANU, Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menyertai 2,000 jemaah termasuk Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Muktafi Billah Shah.
Di JOHOR, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn bersama lebih 4,000 jemaah yang turut disertai Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani dan barisan kepimpinan negeri.
Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berangkat ke Masjid Diraja Tuanku Munawir, Kuala Pilah bagi menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 1,500 jemaah.
Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam bersama isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman tiba di Masjid Al-Azim, Bukit Palah kira-kira 7.50 pagi untuk menunaikan solat sunat Aidiladha bersama ribuan jemaah dengan turut diiringi Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil.
Di SABAH, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Haji Noor, Kampung Serusup, Tuaran yang dipimpin Imam Abdul Basit Salleh.
Di SARAWAK, Yang Dipertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 5,000 jemaah di Masjid Jamek Negeri di Petra Jaya Kuching dengan diiringi Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
-- BERNAMA