Oleh Naveen Prabu & Nur Atiq Maisarah Suhaimi
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur 2025 (SCEKL 2025) yang akan datang akan memberi penekanan yang kuat terhadap penyelesaian bandar berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Ia bagi menggalakkan penerimaan bandar pintar yang praktikal dalam kalangan pihak berkuasa tempatan di Malaysia serta rantau ASEAN secara lebih meluas.
Ketua Pegawai Korporat Digital Nasional Bhd (DNB) Datuk Ahmad Zaki Zahid berkata ekspo itu yang dihoskan oleh Kementerian Digital dan anjuran bersama dengan DNB serta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dijangka menarik kehadiran 10,000 pengunjung dan 2,000 delegasi.
“Matlamatnya untuk meningkatkan kesedaran mengenai fasa seterusnya dalam pembangunan bandar pintar, khususnya dengan penggunaan AI. Kami mahu memastikan penggunaan teknologi yang lebih meluas,” katanya kepada Bernama.
Ahmad Zaki berkata bandar pintar masa kini tidak lagi terhad kepada naik taraf infrastruktur semata-mata, tetapi semakin bergantung kepada AI, kembar digital dan sambungan berkelajuan tinggi bagi membolehkan perancangan jangkaan, perkhidmatan masa nyata dan operasi automatik.
“Bandar pintar mempunyai lebih daripada 80 petunjuk. Apa yang baharu sekarang adalah bagaimana AI meningkatkan penyampaian perkhidmatan — seperti mengetahui dengan tepat bila bas akan tiba atau menggunakan pengawasan berdefinisi tinggi untuk meningkatkan keselamatan,” katanya.
Ahmad Zaki menekankan bahawa bandar-bandar utama di Malaysia seperti Kuala Lumpur dan George Town sudah memiliki pusat kawalan yang canggih, manakala bandar-bandar lebih kecil boleh mendapat manfaat daripada penyelesaian mampu milik yang akan dipamerkan di ekspo berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata teknologi kembar digital, sistem pemantauan masa nyata, peranan infrastruktur 5G, serta keupayaan bertindak balas secara masa nyata adalah penting untuk penambahbaikan bandar-bandar di Malaysia.
Ahmad Zaki berkata keupayaan bertindak balas secara masa nyata merupakan elemen utama bagi perkhidmatan bandar seperti pengurusan trafik dan automasi pelabuhan.
“Sebagai contoh, di pelabuhan, kelewatan isyarat (latensi tinggi) sebelum ini menyebabkan kawalan kontena tertangguh. Kini, dengan 5G semuanya berlaku serta-merta,” katanya.
SCEKL 2025 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 17 hingga 19 September, 2025.
-- BERNAMA