EKONOMI

PETRONAS KEKAL BEROPERASI DI KANADA, KATA CEO KUMPULAN

05/06/2025 09:54 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sekali lagi menegaskan bahawa syarikat itu tidak akan keluar dari Kanada.

“Petronas tidak meninggalkan Kanada. Kami kekal beroperasi di Kanada. Kami sentiasa mempertimbangkan tawaran dan cadangan yang dikemukakan.

“Itu adalah sebahagian daripada kelaziman dalam dunia perniagaan dan (Kanada) merupakan kawasan yang kaya dengan sumber asli,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dalam taklimat bersama editor di sini hari ini.

Malah, Tengku Muhammad Taufik berkata gas asli cecair (LNG) sedang mula dikeluarkan dari Kanada, dengan kargo pertama dijangka dalam beberapa minggu lagi.

Beliau berkata akan ada penghantaran tetap LNG dari Kanada, yang mana Petronas juga memiliki pegangan sebanyak 25 peratus dalam projek LNG Canada.

“Kami memiliki 53 trilion kaki padu (TCF) rizab. Ia terletak secara strategik antara pantai Kanada dan Jepun, Korea Selatan, Taiwan, malah China.

“Beberapa laluan LNG lain terjejas akibat ketegangan geopolitik… Itu satu lagi kelebihan. Itulah rasional di sebalik keputusan ini. Kami membina titik penting (dalam rangkaian logistik) itu. Kami mahu memastikan ia berada pada kedudukan yang strategik, dengan lokasinya mempunyai kelebihan,” kata beliau.

Sehubungan itu, Petronas berharap dapat mengadakan lebih banyak sesi libat urus dan dialog yang membina bagi membolehkan syarikat minyak negara itu mengaktifkan kelebihan tambahan dalam sektor LNG di Kanada.

“Kami berharap kerajaan (baharu) Kanada akan lebih menghargai dan menyokong usaha ini sebagai satu sumber tenaga baharu yang lebih bersih untuk negara-negara membangun yang lain,” tambahnya.

Tengku Muhammad Taufik menegaskan bahawa adalah penting bagi Petronas untuk mengekalkan kepentingannya dalam bahagian pasaran LNG di Kanada sambil melihat bagaimana untuk membina portfolio huluannya dengan berkesan.

Menjawab soalan sama ada Petronas akan melupuskan beberapa aset atau mempelbagaikannya, beliau berkata Petronas akan meneruskan rasionalisasi aset untuk memastikan operasi syarikat lebih cekap dan efektif.

Beliau memaklumkan bahawa pelupusan aset yang dilakukan di Argentina disebabkan Petronas tidak dapat mengoptimumkan asetnya di negara itu dan telah menemui pihak yang berminat untuk mengambil alih aset berkenaan.

Pada April tahun ini, Vista Energy yang berpangkalan di Buenos Aires dilaporkan telah mengambil alih 50 peratus pegangan Petronas dalam medan minyak La Amarga Chica di lembangan syal Vaca Muerta, Argentina, pada harga sekitar US$1.5 bilion (RM7.1 bilion).

Pengeluar minyak mentah kedua terbesar di kawasan itu akan membayar pendahuluan sebanyak US$900 juta untuk pegangan berkenaan dengan satu pertiga daripada jumlah tersebut dibiayai melalui pinjaman daripada Banco Santander SA, manakala baki bayaran akan dibuat dalam dua ansuran pada 2029 dan 2030.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan