EKONOMI

SUBSIDIARI CAB CAKARAN ALAMI SERANGAN SIBER

05/06/2025 06:38 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Subsidiari 51 peratus milik CAB Cakaran Corporation Bhd, Farm’s Best Food Industries Sdn Bhd mengalami serangan siber ke atas sistem perakaunannya pada awal minggu ini. 

CAB Cakaran melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata kejadian itu berlaku pada 3 Jun lepas dan menyebabkan pencerobohan yang mengganggu operasi perakaunan anak syarikatnya itu.

"Sebaik sahaja insiden tersebut dikesan, pihak pengurusan anak syarikat memulakan langkah-langkah tindak balas dan sedang dalam proses menilai kesan serta memulihkan data yang terjejas," kata syarikat itu.

CAB Cakaran juga menjelaskan kakitangan IT dalaman dan perunding keselamatan siber sedang bekerjasama bagi memulihkan fungsi sepenuhnya sistem perakaunan tersebut.

"Tahap pencerobohan ke atas data dan apa-apa implikasi kewangan masih lagi dinilai.

"Syarikat akan membuat pengumuman yang diperlukan pada masa akan datang sekiranya terdapat perkembangan material atau kesan negatif yang timbul daripada kejadian ini," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan