DUNIA

MALAYSIA KESAL DENGAN KEGAGALAN BERULANG MAJLIS KESELAMATAN PBB BERTINDAK TERHADAP SITUASI DI GAZA

05/06/2025 06:25 PM

PUTRAJAYA, 6 Jun (Bernama) -- Malaysia amat kesal dan kecewa terhadap kegagalan berulang kali Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menerima pakai resolusi yang menggesa gencatan senjata serta-merta dan berkekalan serta penghapusan sekatan bantuan kemanusiaan ke Gaza. 

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Khamis menegaskan kegagalan berulang Majlis Keselamatan untuk mengambil tindakan menangani satu daripada tragedi kemanusiaan yang paling buruk sejak Perang Dunia Kedua, berikutan penggunaan kuasa veto sememangnya dikesali dan amat mengecewakan.

“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang membunuh orang awam, tindakan genosid dan menggunakan kebuluran serta sekatan bantuan kemanusiaan sebagai senjata perang,” menurut kenyataan itu.

Di sebalik kegagalan Majlis Keselamatan, kementerian yang turut dikenali sebagai Wisma Putra berkata masyarakat antarabangsa perlu meneruskan usaha-usaha untuk memastikan keselamatan dan kestabilan di Timur Tengah.

“Rejim Zionis Israel sepatutnya sedar bahawa satu-satunya jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Timur Tengah adalah melalui penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara,” menurut kenyataan itu.

Pendekatan ini kekal sebagai pendirian berprinsip Malaysia dan selaras dengan sokongan berterusan masyarakat antarabangsa, menurut Wisma Putra.

Amerika Syarikat (AS) pada Rabu memveto draf resolusi UNSC yang menggesa "gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal" di Semenanjung Gaza, menurut laporan media antarabangsa.

Draf itu, yang dicadangkan oleh Slovenia bagi pihak 10 ahli Majlis -- Algeria, Denmark, Greece, Guyana, Panama, Pakistan, Korea Selatan, Sierra Leone, Somalia dan Slovenia -- menerima 14 undi yang menyokong.

Resolusi itu menyatakan "kebimbangan yang mendalam terhadap situasi kemanusiaan yang dahsyat, termasuk risiko kebuluran," dan mengingatkan kewajipan semua pihak untuk menegakkan undang-undang kemanusiaan dan hak asasi antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan