KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Jemaah Menteri supaya menyemak dan meluluskan segera kenaikan kadar yuran perundingan pegawai perubatan am (GP) swasta yang lama tertangguh.
Presidennya Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata pihaknya bersama pertubuhan GP lain telah menyerahkan memorandum berkaitan isu yuran itu dan beberapa isu lain kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan satu himpunan aman pada 6 Mei lepas.
Beliau berkata Pejabat Perdana Menteri memberi maklum balas positif, mengakui kadar yuran berkenaan tidak berubah sejak sekian lama serta mengarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membentangkan isu terbabit kepada Kabinet.
Dr Kalwinder berkata MMA dan persatuan lain telah mengadakan perjumpaan dengan pegawai KKM dan mengemukakan hujah yang jelas serta berasaskan bukti bagi menyokong kenaikan yuran itu.
“Kami faham kadar kenaikan yuran yang akan diputuskan oleh kerajaan itu akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak, namun kami berharap agar justifikasi yang dikemukakan oleh MMA turut diambil kira dan semakan serta kelulusan Jemaah Menteri dapat disegerakan.
"Kami berharap agar Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dipengerusikan Perdana Menteri, yang turut meneliti isu ini dapat menangani isu ini secara objektif dengan segera. Kami berharap MMA diberikan peluang untuk membentangkan tentang kesukaran dihadapi oleh GP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Kalwinder berkata klinik swasta membantu mengurangkan beban klinik dan hospital kerajaan.
Sehubungan dengan itu, katanya semakan yuran yang lama dinantikan bukanlah bertujuan mencari keuntungan atau memberi kesan kepada inflasi penjagaan kesihatan, yang kebanyakannya berlaku dalam penjagaan sekunder dan tertiari, tetapi lebih kepada memastikan kelangsungan penjagaan primer, yang merupakan aspek paling menjimatkan kos dalam sistem kesihatan Malaysia.
“Masa depan penjagaan komuniti yang berkualiti dan mudah diakses bergantung kepada keputusan ini,” katanya.
Pada 3 Mei lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata semakan kadar yuran perundingan GP swasta akan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan.
-- BERNAMA