SEREMBAN, 5 Jun (Bernama) -- Seorang bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan menggunakan harta syarikat berjumlah RM153,609, antara 2019 dan 2020.
Chin Wei Choong, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Dia yang juga pengarah Ambitious Supreme Sdn Bhd didakwa menggunakan harta syarikat berjumlah RM8,829; RM32,710; RM60,000; dan RM7,070 tanpa persetujuan atau pengesahan mesyuarat agung syarikat bagi memperoleh manfaat tidak langsung kepada dirinya.
Ia melibatkan bayaran kepada beberapa syarikat bagi kerja-kerja untuk Tadika Universal Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mempunyai kaitan kepentingan dengannya melalui Academy Adelphi Worldwide Hotels Sdn Bhd, antara 1 Nov 2019 hingga 10 Jan 2020.
Dia turut didakwa melakukan kesalahan sama melibatkan harta syarikat berjumlah RM10,000; RM10,000; RM15,000; dan RM10,000 bagi mendapatkan manfaat secara tidak langsung kepada dirinya melalui pinjaman yang dibuat kepada Tadika Universal Sdn Bhd, yang dia juga mempunyai kepentingan melalui syarikat Academy Adelphi Worldwide Hotels Sdn Bhd bagi tempoh antara 6 Ogos hingga 28 Okt 2020.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Oakland Commerce Square di sini.
Kes dikemukakan mengikut Seksyen 218(1)(a) Akta Syarikat 2016 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 218(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim membenarkan jaminan sebanyak RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Muhammad Akmal Azmi mewaklili pihak pendakwaan manakala peguam Tan Zhi Xian mewakili Chin.
-- BERNAMA