DUNIA

BURSA MALAYSIA DALAM WILAYAH POSITIF PADA TENGAH HARI

05/06/2025 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia dalam wilayah positif semasa mengakhiri sesi dagangan pagi pada Khamis, didorong oleh aktiviti belian pada harga rendah yang berterusan dalam kebanyakan saham wajaran tinggi terutama dalam sektor utiliti serta produk dan perkhidmatan pengguna.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.41 peratus atau 6.28 mata kepada 1,514.25 daripada 1,507.97 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 2.73 mata lebih tinggi kepada 1,510.70 dan bergerak antara 1,509.25 dan 1,515.90 sepanjang sesi dagangan pagi.

Keseluruhan pasaran adalah memberangsangkan apabila kaunter untung mendahului kaunter rugi sebanyak 490 berbanding 311 manakala 425 kaunter tidak berubah, 1,130 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 1.42 bilion unit bernilai RM1.02 bilion.

Maybank Investment Bank dalam nota penyelidikan berkata sektor pembinaan dijangka kekal sebagai tumpuan utama memandangkan ia sedang meneruskan aliran meningkat.

Malah, sektor amanah pelaburan hartanah kekal berdaya tahan walaupun terdapat beberapa aktiviti pengambilan untung semalam.

“Secara teknikal, kami mengunjurkan indeks petunjuk pasaran dalam julat antara 1,495 dan 1,515 mata hari ini, dengan paras sokongan kekal pada 1,500 dan 1,440,” kata bank pelaburan itu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, YTL Corporation meningkat 13 sen kepada RM2.01, YTL Power International naik 21 sen kepada RM3.50, Petronas Chemicals menokok 11 sen kepada RM3.35, MR DIY naik 5.0 sen kepada RM1.60, dan Sime Darby meningkat 3.0 sen kepada RM1.73.

Antara saham paling aktif, syarikat yang mula disenaraikan di Pasaran ACE Signature Alliance Group melonjak 8.0 sen kepada 70 sen, NexG susut setengah sen kepada 37.5 sen, MYEG naik 2.0 sen kepada 92 sen, Tanco naik 1.0 sen kepada 99.5 sen dan Gamuda menambah 4.0 sen kepada RM4.70.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 52.10 mata kepada 11,335.17, Indeks FBMT 100 naik 50.57 mata kepada 11,103.52 dan Indeks FBM ACE naik 1.76 mata kepada 4,481.41.

Indeks FBM Emas Shariah menokok 75.35 mata kepada 11,317.01 dan Indeks FBM 70 meningkat 91.89 mata kepada 16,260.88.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 70.90 mata kepada 17,689.95, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.29 mata kepada 151.39, Indeks Perladangan naik 18.00 mata kepada 7,221.67 dan Indeks Tenaga susut 0.57 mata kepada 701.89.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan