SANDAKAN, 4 Jun (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Sabah menahan 238 pendatang tanpa izin dalam empat serbuan menerusi Op Sapu dan Op Mahir di sini hari ini.
Pengarah JIM Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusof berkata operasi dari 1.30 pagi hingga 12 tengah hari tadi itu melibatkan kawasan penempatan setinggan Batu 8 dan Batu 10 serta sebuah tapak pembinaan dan kilang kayu.
“Mereka ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 seperti tiada dokumen diri yang sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sh Sitti Saleha berkata sebanyak 480 warga asing diperiksa dalam operasi melibatkan 71 pegawai dan anggota jabatan itu.
Beliau berkata dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, JIM Sabah menahan 2,730 pendatang tanpa izin dan memeriksa 13,850 warga asing serta mendakwa 53 majikan kerana menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.
-- BERNAMA