AM

FAHMI UCAP TAHNIAH KEPADA JURUBAHASA ISYARAT TAN LEE BEE

04/06/2025 09:47 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah kepada jurubahasa isyarat Tan Lee Bee yang dikurniakan Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Isnin. 

Fahmi menerusi satu hantaran di Facebook turut berkongsi gambar beliau bersama Tan dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

“Jumpa Lee Bee pada Majlis Jamuan Teh Diraja di Istana Negara siang tadi. Semoga terus cemerlang. Terima kasih kerana menjadi ‘wira senyap’ yang sentiasa memberi inspirasi dan mewarnai skrin TV kami dengan penuh dedikasi dan semangat,” katanya.

Majlis Jamuan Teh Diraja itu merupakan acara khas sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Tan, 64, merupakan antara 16 individu yang menerima Bintang AMN pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan yang berlangsung di Istana Negara pada Isnin.

Terdahulu, Bernama melaporkan bahawa Tan mula bertugas sebagai jurubahasa isyarat atas dorongan kasih sayang terhadap adiknya yang merupakan orang kurang upaya pendengaran. Beliau mempelajari bahasa isyarat untuk membantu adiknya, di samping berkhidmat sebagai guru selama 17 tahun bagi golongan berkeperluan khas.

Sejak 1994, Tan menjadi jurubahasa isyarat pertama di Mahkamah Persekutuan Malaysia, manakala penglibatannya dalam bidang penyiaran bermula sekitar 1985 menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM. Beliau kemudian menjadi jurubahasa isyarat bagi siaran berita RTM serta video komunikasi rasmi.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan