AM

TOUS LES JOURS MULAKAN OPERASI DENGAN DUA CAWANGAN DI SUNWAY PYRAMID, SUNWAY VELOCITY

04/06/2025 09:32 PM

PETALING JAYA, 4 Jun (Bernama) -- Rangkaian kafe bakeri popular Korea-Perancis Tous Les Jours secara rasmi memulakan operasi di Malaysia dengan bukan satu, tetapi dua cawangan - menandakan pengenalan semula kepada pasaran Malaysia yang pesat berkembang.

Cawangan pertama dibuka di Sunway Pyramid di sini hari ini manakala sebuah lagi akan dilancarkan di Sunway Velocity, Kuala Lumpur pada 14 Jun, menjadikan pembukaan dua cawangan pertama di Malaysia di bawah perjanjian francais induk baharu yang ditandatangani pada Januari 2025.

Ketua Pegawai Pemasaran Stream Empire Holdings Jaclyn Tan berkata ini adalah detik yang membanggakan kerana bukan satu tetapi dua Tous Les Jours kini dibuka untuk peminat di Malaysia yang menggemari hidangan bakeri segar dan berkualiti tinggi.

“Daripada keharuman aroma roti segar kami yang baru dibakar hingga ke kehalusan setiap pastri, cawangan baharu ini adalah tentang mencipta momen bermakna setiap hari,” katanya semasa majlis pelancaran di Sunway Pyramid.

Pelancaran berkembar ini merupakan hasil kerjasama strategik antara SEH Food, anak syarikat Stream Empire Holdings dan CJ Foodville dari Korea Selatan, pemilik jenama Tous Les Jours.

Ketua Serantau Asia Tenggara CJ Foodville Jeong Soo Won berkata kepantasan pembukaan kedua-dua cawangan ini membuktikan kekuatan kerjasama ini.

"Kami di CJ Foodville yakin bahawa rakyat Malaysia akan kembali menerima keunikan cita rasa dan pengalaman mesra yang memang dikaitkan dengan Tous Les Jours dan kami gembira untuk menyokong peluasan operasi ini,” katanya.

Bermaksud “Setiap Hari” dalam bahasa Perancis, Tous Les Jours terkenal dengan gabungan teknik bakeri klasik Eropah dengan rasa kontemporari Korea. Menu di kafe bakeri ini menampilkan pelbagai roti premium, pastri dan kek - dari sourdough yang berkerak garing sehingga bun berkrim halus – yang dihasilkan khas mengikut cita rasa Malaysia.

Lokasi strategik dua cawangan berkenaan mendukung cita-cita Tous Les Jours untuk menjadi jenama kafe bakeri premium pilihan utama di Malaysia dengan memanfaatkan minat kukuh di negara ini terhadap budaya Korea dan juga selera orang ramai untuk menikmati pengalaman bakeri yang luar biasa.  

Untuk mengikuti perkembangan semasa dan tawaran terbaharu daripada Tous les Jours di Malaysia, layari @touslesjours_my di Instagram dan Tous Les Jours MY di Facebook.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan