AM

PROGRAM MADANI RAKYAT 2025 PERAK DI LUMUT WATERFRONT, 13 HINGGA 15 JUN

04/06/2025 03:23 PM

IPOH, 4 Jun (Bernama) --  Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Perak di Lumut Waterfront pada 13 hingga 15 Jun ini akan membawa kelainan  menerusi  beberapa program satelit termasuk bersama warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), nelayan dan aktiviti keagamaan.

Sekretariat PMR 2025 dalam kenyataan memaklumkan program kali ini akan memberi fokus kepada peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemangkin dasar dan pembangunan inisiatif berpaksikan disiplin ilmu seperti penyelidikan, inovasi dan pemikiran kritikal.

“Pengisian program merangkumi perkhidmatan terus kepada rakyat, inisiatif kesejahteraan komuniti, sesi bersama pemimpin, serta aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan turut dianjurkan selaras dengan hasrat merakyatkan perkhidmatan di samping memperkukuh aspirasi Rakyat MADANI,” menurut kenyataan itu.

PMR 2025 dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) selaku sekretariat induk dengan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai  kementerian peneraju dan Kerajaan Negeri Perak selaku tuan rumah mengetengahkan tema Pendidikan Tinggi Pemacu Negara MADANI.

Selain itu, sekretariat memaklumkan pelbagai kaunter perkhidmatan bergerak oleh kementerian, agensi Persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan selain pengisian khas oleh Kerajaan Negeri Perak melalui reruai pembangunan negeri di bawah agenda Perak Sejahtera 2030, dijangka menjadi tumpuan pengunjung.

Program akan berlangsung bermula 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu manakala majlis perasmian penutupan PMR 2025 Perak pada 15 Jun akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Sementara itu, Pengarah Seksyen Program Strategik PACU Mohd Zainuddin Mohd Noor berkata  antara  program satelit sempena PMR 2025 Perak termasuk Kenduri Rakyat MADANI bersama warga TLDM yang akan dihadiri Perdana Menteri pada Ahad.

“Ada juga program di Kampung Datuk Seri Kamarudin melibatkan komuniti nelayan pada 21 Jun dan bahagian kawal selia Felda akan melaksanakan aktiviti keagamaan pada 20 hingga 21 Jun di Felcra Gugusan Lekir,” katanya dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM hari ini.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan KPT Mohd Fazli Said berkata PMR 2025 Perak  juga bakal memaparkan ekosistem dan keberhasilan sistem pendidikan tinggi negara termasuk Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Sepanjang tiga hari PMR ini, pelbagai perkhidmatan akan kita tawarkan terutamanya tawaran kepada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai peringkat.

“PMR 2025 Perak itu juga akan menunjukkan contoh keberhasilan pelajar jurusan TVET yang akan membuat pemeriksaan motor secara percuma oleh pelajar-pelajar politenik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan