KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Wasco Energy, bahagian perkhidmatan tenaga Wasco Berhad yang disenaraikan di Bursa Malaysia, telah melancarkan limbungan fabrikasi baharu di Zon Bebas Jebel Ali (JAFZA) yang terletak di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ketua Pegawai Eksekutif Wasco Energy Shan Karupiah berkata fasiliti baharu seluas 25,000 meter persegi itu meningkatkan keupayaan kejuruteraan dan fabrikasi Wasco untuk menyokong projek infrastruktur tenaga dan perindustrian di Timur Tengah dan di luarnya.
Dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 10,000 tan, limbungan itu mempunyai kelengkapan untuk menghasilkan modul proses, unit ‘Pra-Assembled Unit/ Pre-Assembled Rack’ (PAU/PAR), pakej pemampat gas, pencawang dan ‘E-Houses’ untuk kegunaan darat dan luar pesisir.
Shan berkata fasiliti itu, yang terletak berhampiran satu daripada pelabuhan tersibuk di dunia, membolehkan Wasco menjalankan projek modular bervolum tinggi dengan lebih cekap dan pantas.
“Peluasan ini bukan sahaja mengenai penskalaan kapasiti, ia tentang meletakkan Wasco lebih dekat dengan pelanggan kami dan ekosistem tenaga dinamik rantau ini. Dengan fasiliti baharu UAE ini, kami lebih bersedia untuk menghasilkan penyelesaian berkualiti tinggi, disesuaikan dan bermodul dengan kelajuan, ketepatan dan perincian kejuruteraan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata limbungan UAE melengkapi hab fabrikasi sedia ada Wasco di Batam, Indonesia dan Telok Panglima Garang di Selangor serta loji salutan paip di Qatar, Malaysia, United Kingdom dan Tanzania sekali gus memperkukuh rangkaian penyampaian infrastruktur global kumpulan itu.
Selaras dengan program Nilai Dalam Negara (ICV) UAE, beliau berkata limbungan baharu itu juga meningkatkan pembangunan industri tempatan dengan menggalakkan kandungan domestik industri tempatan dan mengukuhkan rantaian bekalan serantau.
“Jejak global kami yang semakin berkembang membuktikan komitmen Wasco terhadap kecemerlangan pelaksanaan. Peluasan strategik ini meningkatkan keupayaan kami untuk menyokong projek serantau dan global dengan penyelesaian kejuruteraan disesuaikan yang menangani permintaan kompleks landskap tenaga masa kini," tambahnya.
Wasco turut menyatakan penghargaan kepada Ketua Pegawai Operasi (Taman & Zon) DP World GCC Abdulla Al Hashmi, Naib Presiden Jualan JAFZA Ebtesam Alkaabi dan Pengarah Jualan JAFZA Saoud AlAwadhi atas sokongan mereka dalam mewujudkan kemudahan dan komitmen terhadap kerjasama jangka panjang.
Wasco Energy, dengan lebih 600 jurutera di seluruh dunia, menyediakan penyelesaian modular lengkap, dari Reka Bentuk Kejuruteraan Front-end (FEED) kepada fabrikasi dan penyampaian akhir, menggunakan kepakaran teknikalnya.
Fasiliti berkenaan dibina mengikut piawaian Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) antarabangsa, menggabungkan protokol keselamatan yang ketat dan budaya sifar insiden yang kukuh, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA