Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 3 Jun (Bernama) -- Ketibaan musim monsun di Myanmar menyuntik kehidupan baharu untuk tanah lembap di negara itu, sekali gus menyaksikan fenomena unik apabila ribuan burung bangau openbill Asia dan spesies burung air lain berkumpul untuk membiak.
Ketika kebanyakan penduduk bersiap menghadapi cuaca panas dan lembap yang disertai hujan lebat, burung bangau openbill Asia (Anastomus oscitans), yang dikenali sebagai "rakan petani", mengambil peluang musim ini untuk bersarang dan membiak di kawasan paya yang kembali subur.
Apabila hujan mencurah, burung openbill bersama spesies lain seperti bangau putih, burung ular dan bangau kelabu berkumpul di tanah lembap untuk memulakan musim pembiakan.
Tanah lembap menyediakan sumber makanan utama sepanjang musim hujan, termasuk siput dan serangga akuatik, yang menjadikan kawasan itu habitat pembiakan yang ideal.
“Burung openbill Asia ialah spesies asli yang menetap di Myanmar. Sekarang adalah permulaan musim pembiakan, manakala kemuncaknya berlaku pada Julai, Ogos dan September.
“Kami kini menerima hujan yang mencukupi, jadi ini baik untuk burung. Kami tidak bimbang tentang kemampuan burung openbill dan spesies burung air lain untuk membiak dengan berjaya musim ini,” kata Pengarah Eksekutif Persatuan Biodiversiti dan Pemuliharaan Alam Semula Jadi, Thiri Da Wei Aung kepada Bernama dari Yangon.
Beliau menjelaskan bahawa burung openbill mudah dikenali melalui bentuk paruhnya yang berjurang di antara bahagian atas dan bawah, membolehkannya mencengkam makanan seperti siput epal dengan cekap.
Burung ini banyak ditemukan di benua kecil India dan Asia Tenggara, serta hidup subur di tanah lembap pedalaman, sawah padi dan paya cetek. Ia tidak tergolong dalam spesies terancam dan disenaraikan sebagai “Kurang Membimbangkan” oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
Thiri berkata burung openbill memerlukan suhu yang sejuk untuk membiak dan musim monsun menyediakan cuaca yang ideal.
“Mereka tidak boleh membiak jika tiada hujan. Jika suhu meningkat, kadar pembiakan menurun. Perubahan iklim dan pembalakan kini menjadi ancaman kepada habitat mereka,” katanya.
Burung ini turut membantu petani di sawah padi.
“Petani suka burung openbill kerana ia membantu membersihkan sawah daripada siput epal yang merosakkan tanah dan anak benih padi,” katanya.
Myanmar kaya dengan biodiversiti, termasuk hutan hujan, tanah lembap dan garis pantai sepanjang hampir 3,000 kilometer, menjadikannya habitat sesuai bagi pelbagai spesies darat dan laut.
Negara itu menjadi habitat kepada lumba-lumba, buaya serta beberapa spesies burung yang sangat terancam seperti spoon-billed sandpiper, burung hering kepala merah dan itik kepala merah jambu, selain spesies monyet Popa Langur yang unik hanya tinggal kira-kira 250 ekor di dunia.
“Myanmar kaya dengan biodiversiti kerana kami mempunyai kawasan geografi yang luas - daripada gunung bersalji sehingga ke dataran tinggi yang menjadi habitat beruang hitam Asia dan harimau salji,” tambah Thiri.
Myanmar juga mempunyai tujuh tapak Ramsar yang diiktiraf antarabangsa, dengan tanah lembap yang memainkan peranan penting dalam menyokong pelbagai spesies hidupan liar di negara itu.
-- BERNAMA