KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Persiapan bagi penganjuran Majlis Kemuncak Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang akan berlangsung pada 14 Jun ini telah mencapai 80 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2025, berkata persiapan sedang giat dilakukan oleh semua warga agensi berita berkenaan bagi memastikan semua perancangan berjalan lancar menjelang tarikh sambutan itu.
“Malah petang ini kita akan bermesyuarat lagi untuk memastikan penganjuran kali ini berjaya dan berjalan lancar sekali gus memenuhi dan memuaskan hati para hadirin yang akan hadir,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersama Rakan Strategik HAWANA 2025 di Wisma Bernama di sini hari ini.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 serta pengurusan tertinggi agensi berita itu.
Nur-ul Afida turut merakamkan penghargaan kepada 79 rakan strategik terdiri daripada kementerian, jabatan, agensi dan syarikat korporat yang komited menjayakan acara kemuncak serta program sampingan HAWANA 2025.
“Saya amat bersyukur atas sokongan dan kerjasama daripada rakan-rakan strategik... jumlah yang memberi sokongan telah meningkat sekali ganda kepada hampir 80 rakan strategik berbanding 44 pada tahun lepas.
“Ini bukti bahawa rakan-rakan strategik kita mengiktiraf peranan Bernama selaku agensi pelaksana sambutan HAWANA 2025 di bawah Kementerian Komunikasi dan juga mengiktiraf peranan serta pengalaman para pengamal media di negara kita,” katanya.
Bertemakan 'Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika', sambutan HAWANA 2025 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dari 13 hingga 15 Jun ini dengan kemuncak sambutan pada 14 Jun yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lebih 1,000 pengamal media, wakil-wakil persatuan wartawan tempatan dan media negara anggota ASEAN dijemput sekali gus menghimpunkan kumpulan media profesional serta pakar industri sambil bertukar-tukar idea selain menjalinkan hubungan strategik.
-- BERNAMA