KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Taiwan Excellence membawa gelombang kebaikan dan kemampanan ke Malaysia dengan debut rasmi kempen global “Give Me Five! A Better Life”, yang menampilkan maskot kesayangannya, FuBear.
Inisiatif itu dilancarkan di Karnival Jom Heboh yang berlangsung di KL Base, Sungai Besi di sini dari 30 Mei hingga 1 Jun.
Taiwan Excellence dalam kenyataan memaklumkan, kempen Give Me Five mengajak orang ramai dari seluruh dunia untuk berinteraksi dengan FuBear secara dalam talian dan fizikal melalui satu tindakan mudah, memberikan high five bagi mempromosikan kasih sayang, keprihatinan dan tenaga positif merentas sempadan.
“Berlandaskan nilai kemampanan dan kebajikan, kempen ini mencerminkan komitmen kukuh Taiwan Excellence terhadap isu masyarakat dan alam sekitar serta akan dilaksanakan di Taiwan, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Jepun, Indonesia, Vietnam, Thailand, India, Filipina dan Malaysia.
“FuBear lebih daripada sekadar maskot comel kerana ia melambangkan semangat keprihatinan, keterangkuman dan inovasi. FuBear mengembara ke seluruh dunia dengan hati penuh kasih sayang untuk mengajak orang ramai dari pelbagai latar belakang untuk bersama-sama menyebarkan kemesraan dan tenaga positif,” menurut kenyataan itu.
Taiwan Excellence memaklumkan kempen berkenaan disesuaikan mengikut keperluan tempatan bagi setiap negara dengan menyokong usaha seperti perlindungan alam sekitar, kesihatan awam dan penjagaan komuniti, semuanya dengan semangat membina kehidupan yang lebih baik bersama.
Pada Karnival Jom Heboh tahun ini, Taiwan Excellence melebarkan jangkauan melepasi sempadan fizikal dengan mewujudkan pengalaman interaktif dalam talian dan di tapak untuk para pengunjung.
Para peserta boleh memberikan high five kepada FuBear di laman rasmi kempen Give Me Five dan berkongsi interaksi mereka di media sosial untuk menebus minuman popular Taiwan yang diperakui halal, Lao Tao Ke ‘Winter Melon Tea’, manakala untuk interaksi secara fizikal, FuBear turut hadir untuk sesi high five bersama pengunjung.
Kenyataan itu memaklumkan peserta yang menyumbang RM5 kepada REACH Segamat, sebuah pusat kanak-kanak autisme akan menerima beg mesra alam edisi terhad bertemakan nasi lemak yang cukup ikonik di Malaysia.
Beg mesra alam yang dihasilkan sendiri oleh ahli Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) menggunakan fabrik kitar semula dan dibuat oleh keluarga kurang berkemampuan itu mengetengahkan kemahiran tradisional Malaysia serta komitmen bersama terhadap kemampanan dan impak sosial.
Kempen ini akan terus membina momentum pada Taiwan Expo di Malaysia yang akan diadakan dari 23 hingga 25 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan FuBear akan cuba memecahkan rekod ‘Most High Fives in One Minute’ dan berharap dapat mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records.
Untuk maklumat lanjut dan menyertai kempen ini, layari https://giveme5taiwanexcellence.com atau ikuti Taiwan Excellence Malaysia di Facebook dan Instagram.
-- BERNAMA