AM

PELANCARAN MOTORHOME-BERNAMA MOBILE STUDIO LAKAR SEJARAH DUNIA PENYIARAN

03/06/2025 09:45 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melakar sejarah dalam dunia penyiaran negara apabila muncul sebagai agensi media pertama yang menggunakan kenderaan rekreasi atau motorhome dalam operasi liputan luar.

Ketua Bernama Radio Azlan Idris berkata pelancaran studio bergerak itu, yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini, bukan hanya membolehkan wartawan melakukan temu bual secara langsung bersama responden malah turut memberi nilai tambah kepada pelanggan agensi berita berkenaan yang memerlukan liputan bagi pelbagai program berskala besar di lapangan.

“Kenderaan canggih untuk liputan luar ini bukan hanya penting kepada wartawan tetapi juga bersifat komersil untuk pelanggan Bernama... motorhome ini juga akan menjadi pusat bagi wartawan ketika berlaku bencana yang memerlukan mereka berada di lapangan selama beberapa hari.

“Selain itu, ia juga menjadi pusat untuk membolehkan wartawan melakukan temu bual secara langsung baik untuk Bernama Wires, Bernama TV mahupun Bernama Radio,” katanya selepas Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 dan perasmian motorhome itu di Wisma Bernama di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang agensi berita itu Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 serta pengurusan tertinggi Bernama.

Kenderaan itu juga akan turut dipamer sempena sambutan HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 14 Jun ini.

Bernama menerima motorhome itu sebagai medium baharu penyiaran meliputi kandungan berita langsung dari lokasi, program Bernama TV dan Bernama Radio serta acara-acara besar.

Mampu bersiaran secara langsung dengan produksi berbilang kamera, kenderaan itu juga boleh beroperasi di kawasan kritikal tanpa bekalan elektrik seperti liputan bencana dan lokasi terpencil.

Menggunakan enam kamera serta peralatan suntingan moden, motorhome itu mampu menghasilkan kandungan bermutu tinggi bukan sahaja untuk pelanggan malah memberi nilai tambah kepada laporan berita secara langsung dari lokasi bagi siaran di platform media sosial dan penyiaran Bernama.

Motorhome itu, yang menelan kos sebanyak RM1.3 juta dan mampu memuatkan enam petugas pada satu-satu masa, antara lain mempunyai studio mini, ruang kerja serta penyediaan makanan dan kemudahan tandas selain dilengkapi rangkaian Internet 5G dan capaian Starlink.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan