SUKAN

IRFAN BURU REKOD KEBANGSAAN, INTAI PENTAS ANTARABANGSA

01/06/2025 09:35 PM

SEPANG, 1 Jun (Bernama) -- Atlet lempar cakera negara Muhammad Irfan Shamsuddin tekad memanfaatkan prestasi terbaiknya sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan misi utama untuk memperbaharui rekod kebangsaan miliknya.

Irfan, 30, berkata beliau kini berada pada tahap kecergasan tertinggi sejak berusia 23 atau 24 tahun dan percaya ini masa terbaik untuk menguji kemampuannya di kejohanan kompetitif di luar negara.

"Jujurnya, badan saya sekarang rasa macam masa saya umur 23-24 tahun. Lebih pantas, lebih ringan dan lebih 'explosive'. Jadi saya tak nak sia-siakan momentum ini hanya dengan bertanding dalam negara saja," katanya.

Pemenang enam emas Sukan SEA itu berkata beliau dan jurulatihnya Frank Petrovic sudah berbincang mengenai penyertaan di kejohanan kompetitif di Eropah sama ada hujung Jun atau Julai ini, bergantung kepada faktor pembiayaan.

"Kejayaan peringkat Asia Tenggara sudah dicapai. Fokus saya kini adalah pingat emas di Sukan Asia dan Kejohanan Asia. Untuk itu, saya perlu ke luar negara bagi mencari 'momentum' melakukan balingan terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini, selepas menyertai Kejohanan Olahraga Asia 2025 di Gumi, Korea Selatan.

Pada kejohanan itu, Irfan meraih gangsa menerusi balingan sejauh 58.82 meter (m), sekali gus menjadi satu-satunya atlet negara membawa pulang pingat.

Ia adalah pingat ketiga Irfan di kejohanan benua selepas meraih perak di Bhubaneswar, India pada 2017 dan gangsa di Bangkok pada 2023.

Rekod kebangsaan 62.55m milik Irfan dicipta pada Kejohanan Olahraga Austrian di Linz, Austria pada 2017, manakala catatan terbaik musim ini adalah 60m yang dilakukan di Queensland, Australia pada Mac lepas.

Mengulas lanjut, Irfan berkata prestasi semasanya hasil kerja keras sejak awal musim bersama jurulatih, selain menekankan aspek pemakanan dan rehat.

"Apa yang saya buat sekarang, saya kembali jadi diri sendiri. Makan dengan betul, rehat cukup dan tak terlalu tekan diri. Semua ini hasil kerja keras saya dan jurulatih," katanya.

Walaupun belum memutuskan kejohanan seterusnya, Irfan dijangka terus menggalas cabaran negara untuk mempertahankan emas di Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan